SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) sukar diganggu gugat kerana ia bukan setakat sebuah gabungan politik tetapi juga merupakan formula yang membawa kepada kemakmuran masyarakat Malaysia sejak sekian lama.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun terdapat formula baharu hampir sama cuba ditawarkan oleh bukan BN sejak 23 tahun lalu, tetapi malangnya ia tidak serupa.
"Formula tiruan, maka hasilnya juga tiruan.
"Alternatif berpecah, pakatan berterabur, harapan berkecai. Pada akhirnya sejarah membuktikan BN tetap formula terbaik untuk acuan perpaduan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, Malaysia sukar mencapai kemakmuran seperti yang dicapai pada hari ini seandainya negara bermula dengan formula yang menghancurkan dan merobohkan.
Katanya, justeru tidak keterlaluan apabila ada yang berpandangan jika berlaku perpecahan dalam BN, ia memberi maksud perpecahan dalam negara kerana sejak dulu rakyat bersatu mengikut prinsip BN.
Tambah Ahmad Zahid, UMNO, MCA, MIC dan parti komponen lainnya terus utuh bersama BN dengan berpegang kepada konsensus menjaga negara, membela negara.
"BN terbukti tetap teguh walaupun terpalit riwayat hitam serangan dari dalam untuk meranapkan BN demi kepentingan mereka yang tersasar.
"Tidak kira apa terjadi, pemimpin, ahli dan penyokong BN akan terus memperkasakan BN serta mengukuhkan kerjasama dengan yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama," katanya.