SHAH ALAM - Filem pendek Tahun Baharu Cina Tenaga Nasional Berhad (TNB), 'Nian-tastic New Start’ yang ditayangkan sejak 2 Februari lalu menerima respons luar biasa daripada orang ramai.
Selepas lebih seminggu dimuat naik di media sosial, filem pendek yang mengetengahkan hikmah dan cerita rakyat mengenai tradisi Tahun Baharu Cina itu menerima sebanyak 6.08 juta tontonan serta lebih 5,200 jumlah perkongsian di media sosial.
Dengan lebih 30,000 interaksi (engagement) di platform media sosial termasuk YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter, filem pendek TNB itu yang mengambil pendekatan menyeronokkan dan berbeza mengenai kisah legenda Nian turut menerima 600 komen dan 5,900 reaksi.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, TNB berterima kasih kepada netizen di Malaysia dan seluruh dunia atas sambutan luar biasa bagi filem pendek sempena Tahun Baharu Cina pada kali ini.
"Filem tersebut meraikan semangat kegembiraan dan positif apabila penduduk kampung yang dihantui raksasa mitos Nian, mengembara untuk mendapatkan pertolongan mahaguru yang bijaksana bagi mengembalikan keamanan di kampung mereka.
"Ia juga menggambarkan bagaimana amalan berpakaian merah sambil berkumpul bersama ahli keluarga di kediaman dihiasi dengan tanglung merah yang terang, kemeriahan bunga api dan gendang yang dimainkan dengan kuat akhirnya menjadi satu tradisi.
"Kami berharap dan percaya mesej mengenai pentingnya ketabahan, perpaduan dan semangat positif ketika menghadapi masa yang sukar ini, diterima baik oleh semua," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, bagi yang belum menonton filem ‘Nian-tastic New Start’ boleh menonton di saluran YouTube TNB (www.youtube.com/TENAGAofficial).
Selain itu, Mohamad Ariff turut mengucapkan ’xīn nián kuài lè‘ atau Selamat Tahun Baru kepada pelanggan TNB yang meraikan Tahun Baru Cina.
Semua pelanggan TNB dinasihatkan mengamalkan dan mengutamakan keselamatan dengan mengambil langkah berjaga-jaga ketika menggunakan peralatan dan kabel elektrik sepanjang perayaan.