Hasrat seorang pengguna menjimatkan bil elektrik di rumahnya di Puchong, bertukar padah apabila disaman Tenaga Nasional Berhad (TNB) hampir mencecah RM9,000 gara-gara menggunakan satu alat kononnya boleh menjimatkan tenaga elektrik.
Shamsulhairi Mohd Yasin, 38, yang inginkan kisahnya menjadi pengajaran kepada orang ramai telah berkongsikan kisahnya di laman sosial Facebook.
Menurutnya, sebelum guna kaedah 'wire bypass', dia dan keluarga telah menggunakan sejenis peralatan yang perlu dipasang pada soket elektrik namun bil elektrik tetap sama dan tiada penurunan.
"Alat ini mengakibatkan litar pintas di rumah. Jadi lebih kurang dua tahun lalu kami pasang alat menjimat elektrik pada meter. Bil turun dari RM400 ke RM100 lebih.
"Mac 2018, TNB datang buat pemeriksaan meter dan menyatakan penggunaan elektrik tidak relevan," katanya.
Shamsulhairi berkata, surat saman dikeluarkan dan TNB akan membuat penilaian berapa jumlah perlu dibayar.
"Kami adik beradik agak-agak sahaja sekitar RM1,000 ke RM2,000, rupa-rupanya selepas dinilai saman dikenakan RM8,859.25.
"Saman tak boleh dikurangkan dan tiada perbincangan untuk pengurangan. Memang kosnya besar tapi semua itu silap kami, nak jimat elektrik tapi guna cara salah," katanya.
Menurutnya, pada mulanya memang jimat, namun akhirnya apabila dikesan TNB, mereka harus bayar kembali jumlah dijimatkan guna cara salah itu.
"Saya nasihatkan pada pengguna yang kurangkan bil guna cara menyalahi undang-undang untuk hentikan sahaja cara tersebut. Sebelum terkena, baik hentikan," katanya.
Seorang pengguna pula menceritakan dia dan keluarganya bersyukur kerana tiada sebarang perkara buruk berlaku gara-agar alat jimat elektrik dibelinya terbakar.
Suhana Ismail, 49, menceritakan, dia mula berminat guna alat penjimat elektrik awal tahun lalu kerana bil elektrik di rumahnya terlalu tinggi hingga melebihi RM300.
Menurutnya, dia teruja membeli dua alat penjimat elektrik dengan harga di bawah RM100 dan memasang di bahagian dapur serta hadapan rumahnya.
"Pada bulan pertama guna alat tu, bil elektrik memang turun sekitar RM30 tapi selepas dua bulan dan seterusnya, tak ada beza pun (bil elektrik).
"Tapi saya tetap biarkan alat itu terpasang, alih-alih pertengahan tahun lalu, mak saya tercium ada bau benda terbakar di dapur rumah dan didapati alat itu mengeluarkan asap,' katanya.
Menurutnya, dia bersyukur kejadian berkenaan cepat disedari dan tidak berlaku kejadian lebih buruk seperti kebakaran.