SAMARAHAN - Kertas Putih Pertahanan Negara, dokumen yang mengandungi perkara dan langkah yang perlukan dilaksanakan dalam mempertahankan negara, akan dibentang oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, di Parlimen, Julai ini.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal berkata, kertas putih tersebut akan memberikan penerangan yang jelas mengenai peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara.
"Dengan adanya kertas tersebut, semua pihak termasuk ATM, Polis dan agensi lain yang berkaitan akan ada garis panduan yang jelas tentang tugas dan peranan masing- masing,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Pemerintahan Medan Timur di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pasukan pertahanan bersama melibatkan tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut akan ditubuhkan bagi mengkoordinasikan arahan dan strategi dalam memperkukuhkan sistem pertahanan negara.
Zulkifli berkata pasukan gabungan itu akan ditempatkan di kawasan utara, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak.
"Bagaimanapun, pengabungan tiga cabang tentera ini masih lagi dalam perbincangan kerana kita melihat kepada tahap kemampuan ekonomi semasa negara,” katanya.
Terdahulu, beliau menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 120 anggota tentera yang berkhidmat semasa insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 dan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 50 veteran ATM yang berasal dari Sarawak. - Bernama