GOMBAK - Siasatan kes seorang remaja maut dipercayai ditikam oleh abang iparnya di tempat letak kereta di Pinggiran Batu Caves, di sini pada Ahad lalu masih diteruskan.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis masih membuat siasatan lanjut terhadap kes berkenaan.
"Polis akan mendapatkan perintah sambung reman ke atas suspek utama pada hari esok (Ahad).
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Selayang untuk prosedur sambung reman bagi melengkapkan siasatan kes ini," katanya pada Sabtu.
Suspek direman bermula pada Isnin hingga esok (Ahad).
Menurut Arifai, sementara itu lapan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis kecuali suspek utama.
Pada Ahad, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut ditikam di tempat letak kereta di Pinggiran Batu Caves, di sini.
ARTIKEL BERKAITAN Remaja maut ditikam abang ipar
Susulan itu empat lelaki dan lima wanita berumur lingkungan dari 25 hingga 72 tahun ditahan sekitar Batu Caves bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan awal kejadian sekitar jam 7.45 malam itu, bermula akibat pertengkaran dan mangsa cedera parah akibat tikaman di bawah dada.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.