KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok semarak di Tanjung Mas di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, Zakaria Adam, 62 tahun dipercayai memanjat pokok setinggi kira-kira enam meter dan didapati tidak sedarkan diri oleh dua rakannya yang ketika itu berada di bawah pokok yang sama.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, mangsa dipercayai mengambil upah menebang pokok tersebut pengsan dan tersangkut pada dahan pokok.
"Dua rakannya cuba panggil tetapi mangsa tidak menyahut. Mereka kemudiannya memaklumkan kepada tuan rumah dan menghubungi balai bomba untuk dapatkan bantuan,"katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan mangsa telah diberikan rawatan awal namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif.
Mohd Fakri berkata, mangsa telah diperiksa oleh pasukan perubatan namun disahkan meninggal dunia dan di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan kejadian itu dan kematian membabit warga emas terbabit tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Abdul Rahim berkata, mangsa yang berumur 62 tahun itu berasal dari Kampung Sireh, Bawah Lembah dan bekerja sendiri.
"Mangsa dikatakan memanjat pokok dan tidak sedarkan diri. Rakannya yang berada di bawah pokok terbabit telah memanggil mangsa berulang kali, namun tiada jawapan.
"Daripada siasatan awal dan pemeriksaan pada badan mangsa tidak menunjukkan apa-apa tanda kecederaan mahupun unsur jenayah," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.