SHAH ALAM - Semua pusat bertauliah dan Institusi Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA/ILKS) disaran untuk merancang perubahan metodologi latihan serta melaksanakannya secara normal baharu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pendekatan tersebut perlu dibangunkan oleh pusat latihan, pakar negara dan tenaga pengajar Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar dapat dimanfaatkan oleh pelajar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya dijadikan amalan berterusan selari dengan Revolusi Industri 4.0.
Saravanan berkata, kementeriannya akan meneliti dan mendapatkan input serta pandangan daripada pusat bertauliah, ILKA/ILKS untuk mencari kaedah serta solusi terbaik berhubung perkara itu.
"Ia boleh dijadikan model Pengajaran dan Pembelajaran Digital (PdPD) yang berkesan bagi latihan dalam bidang kemahiran masing-masing.
"Selain itu, ILKA dan ILKS perlu mengambil peluang melalui dana-dana yang disediakan oleh kerajaan antaranya seperti Penjana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) menerusi program Reskilling and Upskilling serta Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Pelaksanaan program seperti ini akan dapat membantu ILKA dan ILKS menjana pendapatan untuk mengekalkan operasi selain membantu peserta program meningkatkan keupayaan dan peluang kebolehkerjaan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, ia adalah sebagai persiapan dan penyediaan tenaga kerja mahir apabila ekonomi negara kembali pulih di samping memberi peluang kepada ILKA dan ILKS untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran tenaga pengajar sedia ada.
Tambahnya, semua ILKA dan ILKS tertakluk dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) dalam sektor Pendidikan dan Perkhidmatan Latihan yang terkesan dengan PKP.
"ILKA dan ILKS perlu merujuk kepada arahan semasa MKN dan pemakluman berkaitan latihan kemahiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dari semasa ke semasa.
"Prosedur operasi standard (SOP) bagi latihan kemahiran juga telah dikeluarkan di laman sesawang www.dsd.gov.my,” katanya.
Saravanan berkata, SOP yang ketat disediakan agar semua pusat bertauliah dapat beroperasi dengan norma baharu demi menjamin kesihatan dan keselamatan serta mengawal penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga ILKA/ILKS.