Berbelanjalah ikut kemampuan: Kim Swee

Iklan
Ong Kim Swee

PENGURUSAN kelab bola sepak di negara ini dinasihatkan agar berbelanja mengikut kemampuan berdasarkan peruntukan yang diperoleh untuk mengelak berdepan masalah kewangan terutama sepanjang tempoh negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata, dalam tempoh itu, industri bola sepak negara tidak dapat dijalankan sepenuhnya sekali gus memberi kesan kepada aspek penajaan yang menjadi salah satu sumber kewangan utama kebanyakan kelab.

Iklan
Iklan

"Apabila pasukan tidak dapat beraksi sepenuhnya, penaja tidak datang, sekali gus menyebabkan masalah kewangan kepada kelab terlibat kerana untuk beraksi memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Situasi ini juga akan meninggalkan kesan terhadap prestasi pemain kerana ia juga melibatkan isu pembayaran gaji," katanya kepada pemberita di rumahnya di Lorong Pandan di Melaka sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Jumaat.

Iklan

Kim Swee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PBJM), turut menyarankan agar pengurusan kelab mencari sumber kewangan lebih kukuh dan tidak bergantung sepenuhnya kepada penajaan agar operasi dapat dijalankan lebih lancar.

Sementara itu, Kim Swee berkata, pelbagai perancangan berkaitan program pembangunan akar umbi termasuk kursus kejurulatihan dirancang bagi memantapkan kualiti pemain dari segi prestasi, namun tidak dapat dilaksanakan ketika ini ekoran penularan Covid-19.

Iklan

Anak kelahiran Melaka itu berkata, program tersebut bukan sahaja melibatkan jurulatih kelab malah membabitkan 'educator coach' atau instruktor bagi program pembangunan akar umbi seperti di sekolah sukan.

"Kita jangkakan program yang telah dirancang dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun ini sekiranya penularan Covid-19 di negara ini terkawal," katanya.

Mengulas tentang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) pada 5 Mac ini, beliau yakin semua pasukan terlibat telah bersedia dari segi mental dan fizikal serta mempunyai misi dan perancangan taktikal tersendiri untuk mempamerkan aksi cemerlang musim ini.

"Saya percaya jurulatih dan pemain mempunyai program mereka sendiri dan mereka telah melakukan latihan yang secukupnya di tempat yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh Covid-19 ini," katanya. - Bernama