TAPAH - Empat remaja lelaki ditahan polis kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Taman Bersatu, Bidor di sini pada Khamis.
Operasi sekitar jam 6.30 petang itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah setelah menerima aduan daripada orang awam.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemantauan yang dijalankan mendapati kumpulan remaja terbabit menunggang dalam keadaan laju sambil bersaing sesama sendiri.
"Mereka turut menunggang dalam keadaan ‘zig zag’ dan mengangkat tayar hadapan atau wheelie bermula dari simpang Taman Permai sehingga simpang Taman Bersatu.
"Pasukan operasi telah kepong kawasan tersebut dan sebanyak 15 buah motosikal pelbagai jenis bersama penunggang telah dibawa ke Balai Polis Bidor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, tindakan diambil berikutan aksi tersebut berbahaya pada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
"Seramai 11 penunggang berusia 15 hingga 20 tahun telah disaman atas pelbagai kesalahan trafik.
"Empat remaja yang berusia 16 hingga 19 tahun itu pula ditahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan,” katanya.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan samseng jalanan.