Bila Indonesia serba-serbi terkehadapan...

Iklan
Indonesia merancang untuk membangunkan 148,000 hektar sawah dalam tempoh dua tahun di Kalimantan Tengah sebagai estet makanan.

KAWAN Belalang di Indonesia baru-baru ini dengan bangganya menceritakan betapa negaranya sedang memajukan dengan tekun sekali apa yang dinamakan estet makanan seluas beribu-ribu hektar sebagai persiapan menghadapi bencana makanan dunia.

Tu dia, Belalang pada mulanya tidak begitu berapa nak percaya dengan apa yang Belalang dengar tetapi apabila ditunjukkan kepada Belalang satu rakaman video Bapak Presiden Jokowi sendiri dengan trademark kemeja putihnya sedang melawat satu kawasan estet makanan seluas 30,000 hektar di provinsi Kalimantan Tengah, Belalang terduduk kagum.

Iklan
Iklan

Mereka merancang untuk membangunkan 148,000 hektar sawah dalam tempoh dua tahun di Kalimantan Tengah sahaja sebagai estet makanan.

Di provinsi Kalimantan Tengah ini, para petani lokal yang dipilih untuk mengusahakan projek estet makanan mengusahakan sawah padi.

Iklan

Provinsi itu dalam bahasa kita adalah negeri sepertimana Pahang, Kelantan atau Terengganu manakala panggilan untuk menteri besar atau ketua menteri dinamakan gabenor.

Menerusi video itu, Belalang lihat keluasan sawah yang mereka usahakan tersangatlah besar jauh melangit sampai ke ufuk, maklum sajalah nama pun estet makanan.

Iklan

Jokowi yang bercakap sebagai suara latar dalam video tersebut tersangatlah bangga dengan kejayaan mereka mengusahakan beribu-ribu hektar tanah lapang dan terbiar sehingga menjadi estet yang menghasilkan produk.

Ia adalah hasil usahasama Kementerian Pertanian dan Kementerian Pertahanan.

Menurut Jokowi, ini adalah sebagai persediaan untuk berhadapan dengan bencana makanan yang menurut ramalan para saintis dunia akan melanda bumi selepas pandemik Covid-19.

Sementara di provinsi Sumatera Utara pula, mereka mengusahakan tanaman kentang, bawang merah serta ternakan ayam dan itik.

Apa yang cuba Belalang ceritakan ialah hari ini, Indonesia serba terkehadapan dari segi perancangan dan persediaan masa depan apatah lagi mereka mempunyai kelebihan keluasan kawasan yang mencapai ratusan ribu hektar.

Jika benar-benar diusahakan, Indonesia bakal muncul sebagai kuasa makanan dunia suatu hari nanti. Ini semua tidak mustahil jika mereka mampu mengekalkan kestabilan politik.

Kestabilan politik yang mereka capai sepanjang pemerintahan Jokowi membolehkan beliau dan barisan Kabinetnya membuat persiapan rapi yang lebih terancang untuk negara kerana adanya fokus tanpa gangguan sampingan.

Berbanding kita, ketidakstabilan politik yang kita hadapi sejak jatuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kurang lebih setahun yang lalu bukan sahaja menjejaskan urusan perancangan negara malah menjadikan negara kita seperti mundur ke belakang.

Suatu ketika dahulu kita memandang rendah kepada Indonesia tetapi hari ini, pandangan yang sama tidak lagi boleh diguna pakai kerana nampaknya mereka seperti serba-serbi berada di hadapan kita. Wallahualam...

* Belalang - Sentiasa mengagumi Premoedya Ananta Toer sebagai sasterawan terbilang Indonesia yang menghasilkan tiga siri novel ketika di dalam penjara hanya menerusi memori kerana beliau dinafikan pena dan kertas.

Dan bercakap tentang Mas Prem...

TULISAN Belalang minggu ini tidak akan lengkap tanpa menyentuh sosok yang bernama Premoedya Ananta Toer, sasterawan Indonesia yang terperosok di Penjara Pulau Buru selama berbelas tahun kerana disyaki bersimpati dengan gerakan komunisma Indonesia di tahun-tahun 1960-an.

Siapa yang sezaman dengan Belalang tak mungkin lupa akan teks Keluarga Gerila yang menjadi bacaan wajib Tingkatan Enam. Ia adalah kisah tentang satu keluarga yang menyertai gerakan gerila Indonesia untuk menuntut kemerdekaan daripada Belanda.

Premoedya menghasilkan pelbagai karya sastera legenda di Indonesia. - Foto CNN Indonesia

Apa yang ironis dengan teks sastera ini ialah ia menjadi bacaan wajib di sekolah Malaysia tetapi tidak pernah di sekolah Indonesia. Di Indonesia, karya Mas Prem diharamkan sehinggalah rejim Order Baru Soeharto tumbang.

Hampir separuh hidupnya dihabiskan dalam penjara - tiga tahun di penjara kolonial, kemudian dari tahun 1965 selama 14 tahun dipenjarakan di bawah rejim Soeharto dan kemudian dikenakan tahanan rumah sehingga tahun 1999.

Walau sekali pun dipenjarakan, karyanya yang berjumlah melebihi 20 judul telah diterjemahkan ke dalam 42 bahasa termasuk bahasa Rusia, Jepun dan Belanda.

Yang paling popular selain Keluarga Gerila ialah kuartet yang dihasilkan di Penjara Pulau Buru menerusi hafalan iaitu Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca.

Buku-buku itu hanya berjaya diterbitkan dari tahun 1980 hingga 1988.

Beliau meninggal dunia pada April 2006 di Jakarta.

Kata-katanya yang paling masyhur dan terpahat di jiwa setiap penulis ialah;"Kerana engkau menulis, suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh, jauh di kemudian hari...”

* Belalang - Sampai mati teringin menghasilkan karya sepertimana Mas Prem.