PENGENDALI Manchester City Pep Guardiola masih belum berpuas hati walaupun pemain The Citizens itu berjaya menyempurnakan sepakan penalti ketika menewaskan Tottenham Hotspurs 3-1, pada awal pagi Ahad.
Guardiola berkata, skuad kendaliannya itu masih memerlukan pemain-pemain yang memiliki kemahiran bagi menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan akan datang.
Malah menurutnya, sepakan penalti yang disempurnakan oleh bintang Sepanyol, Rodri pada perlawanan berkenaan dilihat masih belum cukup bagus dan ia perlu diperbaiki pada masa hadapan.
"Apakah Rodri adalah pemain yang bakal diberikan tanggung jawab untuk mengambil sepakan penalti selepas ini? Tidak.
"Walaupun saya mengkagumi semangatnya untuk mengambil sepakan penalti berkenaan, tetapi ia bukanlah satu sepakan yang baik dan saya memang begitu teliti dalam hal seperti ini.
"Kami memerlukan pakar sepakan penalti yang sebenar dan pemain-pemain lagi juga perlu berlatih untuk sepakan penalti,” katanya.
Rodri yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-23 secara tidak langsung telah membuka peluang bagi Ilkay Gundogan untuk menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-50 dan 66 untuk mengesahkan kemenangan City.
Kemenangan berkenaan menyaksikan The Citizens terus mengungguli takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 53 mata hasil 16 kemenangan, seri lima kali dan tewas dua kali daripada 23 perlawanan.
Sementara itu Guardiola berharap untuk segera untuk mengenal pasti pemain-pemain yang memiliki kemahiran mengambil sepakan penalti pada perlawanan akan datang.
"Memang sebelum ini saya pernah berkata mahu memberikan tanggungjawab berkenaan (sepakan penalti) kepada penjaga gol Ederson, tetapi kini kami sememangnya memerlukan pemain yang mahir dalam sepakan penalti ini.
"Setelah tersingkir daripada Piala FA, kita akan mengharungi pula saingan kalah mati Liga Juara-Juara berdepan Borussia Monchengladbach 25 Februari ini,” katanya.