SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bimbang dengan fenomena mahasiswa menggunakan aplikasi ‘Sugarbook’ untuk mencari ‘sugar daddy’.
Beliau berkata, ia bukan sahaja memperlihatkan keruntuhan nilai moral malah bertentangan dengan hukum syarak bagi mereka yang beragama Islam.
"Saya tidak berhasrat mencari salah sesiapa dalam soal ini kerana yang paling utama ialah menyelamatkan generasi masa depan negara ini.
"Namun laporan media menyebut peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran mahasiswa mencari 'sugar daddy' berlaku selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 1.0, PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dan PKP 2.0,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Malaysia dilaporkan berada pada kedudukan tertinggi Asia bagi mahasiswa mendapatkan 'sugar daddy'.
Katanya, punca utama mahasiswa bertindak demikian mungkin disebabkan desakan hidup dan ekonomi ekoran pandemik Covid-19.
"Oleh itu, saya berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna perkara ini dan saya sendiri akan berkomunikasi dengan Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
"Saya juga berharap pihak berkuasa agama dapat menyiasat dan menyelamatkan bagi pelajar yang beragama Islam.
"Jika benar disebabkan desakan wang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam negeri, pusat zakat dan Baitulmal mungkin boleh menyalurkan bantuan kewangan,” katanya.
Ahmad Zahid turut menyeru semua pihak membantu mahasiswa terbabit dan tidak membiarkan mereka terus hanyut.
Pada Rabu, media melaporkan bahawa Malaysia telah dikategorikan pada kedudukan ketiga tertinggi Asia bagi jumlah 'sugar daddy' melalui aplikasi 'Sugarbook', sebuah aplikasi tidak bermoral yang menyediakan platform bagi mencari wanita-wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.