Padi bunting, sawah kontang akibat kemarau, pam air rosak

Iklan

BACHOK - [DIKEMASKINI] Seramai 300 petani bimbang kerugian sekitar RM320,000 berikutan 80 hektar tanah bendang kontang menjejaskan padi bunting di lima kampung di Gunong di sini.

Kampung terlibat ialah, Telaga Ara, Permatang Pasir, Kok Lentang, Surau Bator dan Gong Jelutong.

Iklan
Iklan

Seorang petani, Mohd Faizal Mat Husain, 40, berkata, masalah yang bermula dua bulan lalu itu berpunca akibat cuaca panas pada musim kemarau selain dua pam yang sepatutnya mengalirkan air ke sawah mengalami kerosakan.

"Ketika ini, pokok padi pada peringkat membunting dan amat memerlukan air untuk menghasilkan biji beras berkualiti.

Iklan

"Keadaan kering menyebabkan kualiti merosot, biji lebih kecil dan kempis sekali gus menjadi padi hampa sekiranya berterusan tanah kering selain mengundang lebih banyak ancaman tikus,” katanya ketika ditemui di bendang Kampung Kok Lintang di sini pada Ahad.

Menurutnya, benih disemai oleh petani pada musim tengkujuh antara November dan Disember tahun lalu.

Iklan

Hasil semaian petani tahun ini dijangka berjumlah 500 tan metrik dan dapat dituai pada Mac ini.

Seorang lagi petani, Mohd Azaman Meli, 56, berkata, beliau yang 10 tahun menanam padi bergantung rezeki sepenuhnya melalui hasil tuaian bagi menyara kehidupan keluarga.

"Tahun lepas, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) sudah pun membantu kami membaiki pam berkenaan, namun setakat ini hanya satu yang berfungsi.

"Air yang dipam hanya sampai ke kawasan bendang yang terletak berdekatan dengan tali air. Air tidak sampai ke bendang yang terletak di hujung-hujung kampung,” katanya.

Sehubungan itu, seorang lagi petani, Mohd Fikri Aswadi Mohd Nor, 37, mengharapkan pihak berwajib segera membantu mereka bagi menggelakkan lebih banyak kerugian.

"Masalah kekurangan air di bendang yang dihadapi oleh petani di kampung ini bersilih ganti sejak enam tahun lalu.

"Ada yang berhenti tanam padi dan mencari pekerjaan lain untuk sara hidup.

"Padi sepatutnya boleh ditanam tiga kali setahun tetapi akibat tidak cukup air hanya sekali atau dua kali setahun,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapat maklum balas pihak IADA belum diperoleh berikutan cuti umum Tahun Baharu Cina.