PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengingatkan David De Gea bahawa kejayaan lalu tidak akan menjamin sesiapa pun diturunkan selaku pemain utama di bawah kendaliannya.
Kenyataan tersebut dibuat pengendali dari Norway selepas beberapa kesilapan yang dilakukan oleh De Gea sewaktu seri 3-3 menentang Everton minggu lalu.
Justeru, Solskjaer menuntut pemain dari Spain itu membaiki kesilapan dan memberikan yang terbaik buat pasukan.
"Ini bukan soal siapa yang pernah menang berapa banyak trofi. Saya dalam kedudukan yang sangat baik kerana mempunyai pilihan untuk posisi penjaga gawang. Keputusan membawa masuk Dean Henderson mewujudkan persaingan bagi posisi berkenaan.
"Henderson turut menampilkan persembahan baik setakat ini. Saya akui berdepan keputusan sukar untuk memilih yang terbaik.
"Ia mengenai apa yang anda berikan kepada pasukan sekarang. Sama ada anda pertahanan kira, kanan atau sayap kanan. Saya fikir semua pemain perlu berlumba untuk berada dalam pasukan.
"Kami mempunyai sekurang-kurangnya dua pemain dalam setiap posisi. Sama juga dengan penjaga gol di United,” katanya.
De Gea menjadi penjaga gol nombor satu The Red Devils sejak tiba dari Atletico Madrid pada 2011, namun kehadiran Henderson berusia 23 tahun yang bermain cemerlang mewujudkan persaingan bagi posisi penjaga gol United.
Malah Solskjaer sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekiranya penjaga gol berusia 30 tahun itu tidak menunjukkan prestasi terbaik bagi mempertahankan posisinya, Henderson akan diberikan peranan pada perlawanan 32 pasukan Liga Europa menentang Real Sociedad.