JOHOR BAHRU - Seramai 129 pesakit ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MPPG) dekat sini sejak beroperasi pada 10 Februari lalu.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah berkenaan PKRC yang pertama di Johor itu menerima 36 pesakit baharu setakat jam 6 petang pada Sabtu.
"Jumlah pesakit yang direkodkan masih aktif iaitu dikuarantin di PKRC adalah seramai 122 orang. PKRC ini beroperasi bagi memberi rawatan kepada pesakit tahap satu dan tahap dua.
"Buat masa ini, pesakit yang menerima rawatan di PKRC adalah warganegara sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
PKRC itu mampu menempatkan 1,200 pesakit dari seluruh negeri melibatkan semua peringkat usia bermula lima tahun ke atas dan penilaian kemasukan dibuat menerusi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di setiap daerah.
Vidyananthan berkata, pesakit yang diarahkan menjalani kuarantin di PKRC harus mengikut masa ditetapkan pihak CAC untuk urusan pendaftaran di PKRC.
Begitu juga katanya, apabila diterima masuk pesakit mesti mematuhi arahan dikeluarkan pihak pengurusan PKRC dari semasa ke semasa.
Beliau menasihatkan semua pesakit yang disenaraikan untuk dikuarantin di PRKC tersebut supaya membuat persediaan awal menyediakan barang keperluan diri secukupnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, CAC pertama ditubuhkan di Johor pada 10 Januari lalu bermula di Klinik Kesihatan Bukit Indah di sini.
"Setakat hari ini (Ahad) terdapat 11 CAC statik di klinik kesihatan seluruh Johor. Selain itu, Mobile CAC turut dilaksanakan di semua daerah bagi menangani kejadian kluster dalam kalangan industri.
"Sehingga 12 Februari, kehadiran pesakit Covid-19 ke CAC di Johor berjumlah 27,082 orang. Daripada jumlah itu 20,313 hadir ke CAC statik di klinik kesihatan manakala 6,769 lagi ke Mobile CAC," katanya.