SHAH ALAM - Imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh terjejas sekiranya benar dakwaan gangguan seksual melibatkan pihak berkuasa tersebut didakwa berlaku ketika sekatan jalan raya.
Peguam Litigasi, Mohd Firdaus Mohd Razi berkata, tindakan anggota polis itu merupakan satu kesalahan tata kelakuan yang amat serius dari sudut undang-undang.
Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung melanggar etika anggota polis.
"Saya difahamkan kejadian ini berlaku di sekatan jalan raya Jalan Duta.
"Apa yang lebih terkilan apabila terdapatnya dakwaan mengatakan anggota polis yang bertugas di sini meminta pemandu wanita berkenaan untuk membuka baju sebagai bukti dia benar-benar tidak memakai pakaian dalam.
"Sekiranya siasatan mendapati perkara ini benar-benar berlaku, maka tindakan segera perlu diambil bagi memastikan ia tidak lagi berulang demi menjaga imej pihak polis,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, anggota polis berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib jika disabitkan kesalahan.
Menurutnya, tindakan tersebut boleh membawa kepada penamatan perkhidmatan sebagai anggota polis dan kakitangan awam.
"Bagaimanapun, kes salah laku seperti ini boleh berlaku kepada mana-mana pihak dan tidak semestinya pihak polis sahaja.
"Ia melibatkan integriti setiap individu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Pada Sabtu, polis menyiasat dakwaan berhubung gangguan seksual terhadap dua wanita di SJR di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, kes tersebut sedang disiasat oleh JIPS Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis rekod keterangan wanita dakwa gangguan seksual ketika SJR
Polis siasat dakwaan gangguan seksual di SJR