Tarikh daftar, kemas kini BPR dilanjutkan hingga 25 Februari

Iklan
Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi BPR yang sebelum ini dibuka dari 15 Januari hingga 15 Februari kini dilanjutkan sehingga 25 Februari.

KUALA LUMPUR - Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sebelum ini dibuka dari 15 Januari hingga 15 Februari kini dilanjutkan sehingga 25 Februari, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul

Dalam kenyataan pada Ahad, beliau berkata, ia bagi memastikan BPR diterima oleh mereka yang layak serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh negara ketika ini.

Iklan
Iklan

Hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40, serta isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu.

"Ini termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.

Iklan

"Dengan adanya proses pendaftaran baharu/kemas kini ini, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk diverifikasi semula,” katanya.

Penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemas kini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat.

Iklan

Tengku Zafrul berkata, pembayaran Fasa 1 BPR akan dipercepatkan kepada penghujung Februari ini seperti yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada 18 Januari lepas, manakala bayaran Fasa 2 pula dijangka dibuat awal Mei.

Setakat ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima hampir 550,000 permohonan baharu yang perlu diverifikasi dan disemak silang di dalam sistem dan proses itu turut melibatkan 25 agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan LHDN untuk memastikan hanya yang layak diluluskan untuk BPR.

Pemohon BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. - Bernama