Yayasan Amal Maaruf sasar kutipan lebih RM51j

Iklan

SHAH ALAM - Yayasan Amal Maaruf Malaysia menyasarkan kutipan dana menjangkau RM51.35 juta tahun ini, membabitkan pembayar cukai di seluruh negara menerusi program ‘Dana 7 Amanah LHDN’ (Lembaga Hasil Dalam Negeri).

Yang Dipertuanya Hamsan Omar berkata pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan pembayar cukai bakal mendapat pelepasan cukai menerusi pendapatan mereka yang diinfaqkan kepada yayasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini kebanyakan dana atau wang yang diinfaqkan kepada kita oleh mana-mana pihak jumlahnya tidak banyak, jadi ini agak sukar kita mahu agihkan dana ini kepada golongan yang memerlukan terutamanya kepada ibu tunggal dan OKU (orang kelainan upaya).

"Disebabkan itu, kita minta LHDN untuk memberi pelepasan cukai kepada pembayar cukai yang memberi sumbangan kepada kita dan akhirnya kelulusan itu telah pun diperolehi daripada LHDN pada April tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran program ‘Dana Amanah LHDN’ itu di sini, hari ini.

Iklan

Turut hadir, Senator Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah.

Mengulas lanjut, Hamsan berkata pihaknya telah mengenalpasti golongan sasar yang bakal menerima agihan dana itu menerusi program berkenaan.

Iklan

"Kita fokus kepada tujuh golongan sasar yang mana selain membantu golongan ibu tunggal dan OKU, kita juga akan memberi tumpuan kepada beberapa pihak lain termasuk meringankan beban asnaf fakir dan miskin, mualaf serta bantuan kepada pusat rawatan hemodialisis.

"Menerusi program ini, kita akan turut bekerjasama dengan beberapa pihak dan agensi pertubuhan bukan kerajaan bagi melancarkan lagi perjalanan agihan dana ini, antaranya Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Banting; Pusat Tahfiz Az Zahra Lil Banat, Shah Alam dan Rumah Kebajikan Pontian, Johor Bharu,” katanya.

Tambah Hamsan, pihaknya turut bercadang untuk membuka cawangan yayasan itu di setiap negeri secara berperingkat bagi memudahkan orang ramai dan pembayar zakat menyalurkan sumbangan mereka. - Bernama