SEREMBAN - Seorang lelaki dipercayai tinggal di bawah jambatan seorang diri sejak empat hari lalu di Jalan Rasah - Seremban berhampiran masjid Rasah diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Ahad.
Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, lelaki bersuai 47 tahun yang dikenali sebagai Mohd Amin itu mendakwa berasal dari Kedah dan datang ke Negeri Sembilan untuk bekerja.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan masih bujang dan ibu bapanya sudah meninggal dunia tetapi mempunyai seorang kakak di Port Dickson.
"Dia pernah melarikan diri dan tidur di pantai Port Dickson sebelum diselamatkan JKM dan diserahkan kepada kakaknya semula.
"Lelaki ini bagaimana pun mengulangi perbuatan sama tetapi kali ini berjalan kaki dari Port Dickson sehingga ke Seremban," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Nicole memberitahu, lelaki berkenaan dikatakan mengambil keputusan berteduh, makan, tidur dan mandi di bawah jambatan berhampiran dengan sungai selepas ketiadaan wang.
Mengulas lanjut, Nicole berkata, pada peringkat awal pertemuannya dengan lelaki berkenaan di lokasi mendapati dia seperti mengalami masalah ingatan.
"Tetapi selepas ditanya dia akhirnya mengaku tinggal bersama kakaknya di Port Dickson sebelum ini dan perkara itu turut diakui pegawai JKM daerah Port Dickson selepas membuat 'video call' bersama.
"Pegawai kami (JKM) di Port Dickson mengenalinya dan terkejut kerana dia sekali lagi bertindak sedemikian sehingga menyukarkan proses bantuan JKM kepadanya," katanya.
Katanya, JKM akan melakukan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan di rumah kakak lelaki itu di Port Dickson berkenaan sebelum tindakan susulan diambil.
Nicole sebelum itu datang ke lokasi menyerahkan makanan sebaik mendapat aduan berhubung keadaan lelaki itu pada Ahad.