PASUKAN Kitchee FC mempertaruhkan penyerang import berbisa mereka, Lucas Espindola da Silva bagi memastikan kemenangan menentang pasukan Perak dalam pusingan Kelayakan Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Perak, malam esok.
Ketua Jurulatihnya, Alex Chu berkata, kelabnya mempunyai misi besar untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam saingan tersebut jika berjaya menewaskan Perak.
Beliau berkata, pengalaman bermain dalam saingan ACL sebelum ini akan digunakan sepenuhnya untuk memastikan kemenangan Kitchee FC pada perlawanan pertama di tempat lawan.
"Ini bukan kali pertama kita bertemu. Malah kita pernah bertemu dengan beberapa pasukan dari Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu.
"Perak juga pasukan bagus dan kita berjaga-jaga dengan pemain penyerang berjersi 9 (Gilmar Filho) yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pra Perlawanan Pusingan Kelayakan ACL di Stadium Perak, di sini.
Kelab dari Hong Kong itu menaruh harapan kepada penyerang dari Brazil itu yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Hong Kong pada musim lalu.
Alex berkata, pemainnya berdepan sedikit masalah dengan cuaca di Malaysia yang sedikit panas kerana mereka biasa bermain dalam cuaca sejuk.
Sementara itu, Lucas berkata, perlawanan tersebut merupakan yang pertama baginya untuk saingan ACL malah pertama kali juga bertemu dengan Perak.
Mengakui pasukannya berdepan masalah cuaca panas di Malaysia, dia berharap ia tidak mengganggu persiapan pasukan.
"Ya, memang kita ada masalah dengan cuaca di sini, namun ia hanyalah masalah kecil yang boleh ditangani," katanya.
Pasukan Kitchee FC kini berada di tangga keempat Liga Perdana Hong Kong dengan mempunyai perbezaan dua mata di belakang pendahulu liga, R&F FC.