Yayasan Bank Rakyat bantu 500 pelajar sekitar Rantau Panjang

Iklan
Dari kiri: Pengerusi Persatuan Alaf Baru, Akhbar Salim; Syaiful Rizal dan Mohamad Ghazali memberikan bantuan kepada pelajar di sekitar Rantau Panjang pada Ahad.

SHAH ALAM- Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan RM50,000 untuk diagihkan kepada 500 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Rantau Panjang sebagai bantuan persekolahan sempena program Kembali ke Sekolah YBR.

Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, bantuan tersebut membuktikan keprihatinan badan bukan berkeuntungan tersebut dalam menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan mereka dibantu dan dapat belajar sama seperti rakan mereka yang lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan bantuan tersebut memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan membuat persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah.

"Diharapkan bantuan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga bagi sesi persekolahan yang baharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasa.

Iklan

"Wang tunai bernilai RM100 diberikan kepada setiap pelajar yang telah dikenal pasti daripada kalangan keluarga berpendapatan B40.

"Bantuan ini turut diinspirasikan melalui penerapan elemen pembelajaran menyeronokkan bagi memastikan murid-murid sentiasa gembira, sekali gus melahirkan insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Syaiful Rizal berkata, program bantuan persekolahan anjuran YBR akan diagihkan ke 141 lokasi lain yang telah dikenal pasti.

Tambah beliau, perkara tersebut bukan sahaja dapat membantu keluarga serta pelajar yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pendidikan lebih sempurna, malah membantu meningkatkan pencapaian pendidikan selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sehingga tahun 2020, katanya, seramai 33,721 murid telah menerima manfaat melalui bantuan tersebut dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.87 juta.

"Melalui bantuan yang disalurkan ini diharapkan agar dapat membantu ibu bapa dalam mengharungi saat-saat sukar, ditambah pula dengan negara menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.