WASHINGTON - Nasib masih menyebelahi bekas Presiden, Donald Trump selepas beliau dibebaskan daripada dakwaan menghasut keganasan di Capitol pada 6 Januari lalu menerusi perbicaraan kedua yang berlangsung selama lima hari dan berakhir pada Sabtu.
Senat mengundi 57-43 untuk menggugurkan sabitan ke atas Trump sama seperti yang diputuskan ketika perbicaraan pertama pada tahun lalu ketika beliau berdepan tuduhan penyalahgunaan kuasa dan menghalang Kongres.
Keputusan itu yang menyaksikan majoriti anggota Republikan mengisytiharkan beliau tidak bersalah jelas menunjukkan Trump masih mempunyai pengaruh kuat dalam parti Republikan.
Menerusi hujah penutup, Pengurus Pendakwaan Dewan Perwakilan memberi amaran kepada Senat jika mereka memutuskan untuk membebaskan Presiden ke-45 AS tersebut.
"Insiden ganas pada 6 Januari lalu boleh berulang," kata salah seorang Pengurus Pendakwaan Dewan Perwakilan, Joe Neguse.
Bagaimanapun, pasukan pembelaan Trump menolak tuduhan Demokrat yang mendakwa Trump menghasut pemberontakan ganas itu sebaliknya ia hanyalah retorik semata-mata.
Hujah utama duo peguam beliau yang menegaskan Senat tidak mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan untuk membicarakan seorang bekas Presiden turut disokong majoriti anggota Republikan yang pada mulanya mengemukakan usul menolak prosiding tersebut.
Presiden ke-45 AS itu yang kini menetap di kelab peribadi miliknya, Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pastinya tersenyum lebar dengan keputusan tersebut walaupun menjadi Presiden AS pertama yang berdepan dua kali perbicaraan di Senat.
"Gerakan bersejarah, patriotik untuk Make America Great Again baru sahaja bermula. Banyak perkara perlu dilakukan. Tidak lama lagi akan muncul visi untuk masa depan Amerika lebih cerah dan tanpa batasan," ujarnya.
Pada 13 Januari lalu, Dewan Perwakilan mengundi 232-197 untuk memecat beliau kira-kira seminggu selepas insiden rusuhan ganas dilancarkan penyokong Trump yang cuba untuk membatalkan keputusan kemenangan Presiden AS, Joe Biden di Kongres selepas terpedaya dengan pembohongan pemimpin tersebut mengenai berlaku penipuan undi. - AFP
INFO
* Majoriti sekurang-kurangnya 17 undi anggota Republikan yang mewakili undi dua pertiga diperlukan untuk mensabitkan bilionair hartanah tersebut.
* Tujuh anggota Republikan yang berpihak kepada anggota Demokrat adalah Senator North Carolina, Richard Burr, Senator Lousiana, Bill Cassidy, Senator Maine, Susan Collins, Senator Alaska, Lisa Murkowski, Senator Utah, Mitt Romney, Senator Nebraska, Ben Sasse dan Senator Pennsylvania, Pat Toomey.
* Pemimpin Minoriti Senat, Mitch McConnell yang pada awalnya menyokong perbicaraan itu turut mengundi berpihak kepada Trump.
* Jika disabit bersalah, Senat boleh mengundi untuk melarang Trump untuk memegang sebarang jawatan atau bertanding pada masa depan.