Pasangan nikah guna sindiket jangan takut jumpa JAIS

Iklan
Ahmad Marzuk (kiri) ketika melawat Muhamad Muzani (tengah) di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU - Pasangan yang bernikah menggunakan khidmat jurunikah tanpa tauliah seperti yang dibongkarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini diminta tidak takut untuk tampil ke jabatan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia bagi memudahkan proses berkaitan dan untuk mengesahkan status perkahwinan pasangan terlibat.

Iklan
Iklan

"Saya menyeru kepada semua terlibat, begitu juga dengan mereka yang telah sedar bahawa perkahwinan menggunakan sindiket supaya tampil kepada JAIS.

"Bagi mempermudahkan segala urusan berkait dengan perkahwinan, mereka tidak perlu takut," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian merujuk kepada pembongkaran Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS sebelum ini berhubung pernikahan menggunakan jurunikah tanpa tauliah apabila menahan seorang bekas kakitangan awam di sebuah premis di Puncak Alam, Shah Alam.

Sehubungan itu, JAIS sudah meminta 100 pasangan yang dinikahkan lebih sebulan lalu itu tampil bagi membantu siasatan.

Iklan

Sementara itu, Ahmad Marzuk juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, setakat ini hanya 100 pasangan yang terlibat sebagaimana dilaporkan, namun beliau tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi kes seumpamanya.

Malah, katanya, kemungkinan isu yang dibongkarkan di Selangor itu turut berlaku di negeri-negeri lain.

Beliau sehubungan itu berharap agar semua pihak menyedari bahawa perkahwinan menggunakan jurunikah tanpa tauliah dan menjadi jurunikah tidak bertauliah merupakan satu kesalahan.

Ahmad Marzuk sebelum itu menyampaikan sumbangan RM2,000 sebagai bayaran pendahuluan kepada Muhamad Muzani Mohamad, 27, di Pengkalan Chepa di sini yang perlu membeli mesin bantuan pernafasan.