TUMPAT - Seorang wanita yang sebelum ini tular kisah hidupnya kerana menyelongkar bahan terbuang di dalam tong sampah pada bulan lalu dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tumpat pada Ahad selepas didapati positif dadah.
Ketua Pegawai AADK Tumpat, Siti Morni Mustafa berkata, ibu empat anak berusia 36 tahun itu didapati positif methamphetamine selepas hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya dalam Ops Cegah di sekitar jajahan ini.
Dalam operasi tersebut, katanya, pihaknya juga menahan adik lelaki kepada wanita berkenaan yang turut positif dadah.
"Hasil soal siasat, wanita berkenaan mengaku telah mengambil bahan terlarang itu setiap hari sejak empat tahun lalu kerana tekanan perasaan," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Siti Morni berkata, wanita berkenaan bagaimanapun bersetuju untuk menerima rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan (Wanita) Bachok di bawah Sekyen 8(3)(a) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Beliau berkata, keempat-empat anak wanita berkenaan akan dijaga buat sementara waktu oleh keluarga kakaknya.
Sementara itu, katanya, dalam operasi bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari itu, dua lelaki turut ditahan di daerah tersebut dan dibawa ke AADK Tumpat untuk urusan dokumentasi.
Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan wanita berkenaan bermotosikal bersama anak-anaknya menyelongkar tong sampah di sekitar Tumpat
Perbuatan tersebut mendapat simpati daripada netizen, malah tidak kurang yang mengutuk.