Sampah masih ‘terbang’ di PPR Seri Pantai

Iklan
Tilam, bantal dan selimut buruk turut dilonggokkan di bahagian bawah blok.

INSIDEN seorang pelajar lelaki maut akibat ditimpa kerusi ‘terbang’ dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam di sini, tiga tahun lalu nampaknya masih belum menginsafkan segelintir penghuni flat yang tiada kesedaran sivik.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pangsapuri di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur termasuk di pangsapuri yang menjadi saksi kematian mangsa berusia 15 tahun itu mendapati masih banyak sampah dibuang dari tingkat atas.

Iklan
Iklan

Selepas tiga tahun kejadian tersebut, tinjauan di PPR Seri Pantai mendapati kawasan itu masih dalam keadaan sama iaitu kotor dan berbau busuk.

Sisa sampah tersangkut pada atap. Di bahagian tangga pula terdapat najis kucing manakala di balkoni tingkat satu ada longgokan baju yang disidai.

Iklan

Selain itu, terdapat juga beberapa tilam lama yang diletakkan di bahagian bawah blok dan di tingkat satu yang lokasinya jauh dari tempat pengumpulan sampah sekali gus menampakkan sisi hodoh PPR tersebut.

Penduduk yang ditemui mengakui perbuatan melempar sampah dari tingkat atas masih berlaku.

Iklan

Perkara itu sukar diatasi meskipun pelbagai inisiatif dilakukan pihak persatuan dan jawatankuasa demi meningkatkan kesedaran penduduk.

PPR Seri Pantai terus berdepan dengan masalah kebersihan.

Seorang penduduk, Mohd Shukor Awang, 56, berkata, selepas kejadian remaja maut ditimpa kerusi, masalah kejadian lempar barang dari tingkap mula berkurang dan tidak seteruk dulu.

"Kalau sebelum ini ada kes pembakar roti, kerusi dan almari dicampak dari atas, tapi lepas kejadian itu ia mula berkurang.

"Namun, sampah kecil masih ada, begitu juga botol arak yang dibaling dari atas,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini ada cadangan untuk membina laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan itu sebagai salah satu langkah meningkatkan ciri keselamatan.

"Bagaimanapun, sehingga kini belum ada laluan pejalan kaki itu. Mungkin masalah bajet.

"Ada juga kawasan hotspot bawah blok yang telah dipasang jeriji besi untuk tujuan keselamatan iaitu mengelak sampah menimpa pejalan kaki.

"Kamera litar tertutup (CCTV) juga ada tetapi tidak pasti sama ada masih berfungsi atau sebaliknya.

"Saya yang tinggal di sini sejak 10 tahun lalu mendapati isu lempar sampah ini masih belum berkesudahan, mungkin disebabkan sikap penduduk sendiri yang telah terbiasa buang sampah terus dari tingkap,” katanya.

Shahrul Nizam Abdullah, 41, pula memaklumkan, masalah itu hanya ditimbulkan segelintir penduduk.

"Mereka sudah diberi nasihat dan teguran, tetapi masih ada yang degil. Walaupun tak selesa tapi saya masih bertahan kerana rumah di sini dekat dengan tempat kerja dan sewanya pula murah berbanding di luar.

Sisa sampah yang dibuang dari tingkat atas.

"Saya kasihan dengan kontraktor pembersihan, baru saja sapu sampah tak sampai beberapa minit kemudian sudah ada sampah lain jatuh ke bawah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Seorang lagi penduduk, Shahril Saidon, 35, berkongsi pengalaman hampir terkena botol kaca yang dibaling dari atas.

"Saya baru sampai ke rumah dan tiba-tiba botol jatuh dari atas. Mujur tidak kena saya, kalau tak mungkin saya dah tak ada,” katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan S Kasthurivai, ibu kepada remaja berusia 15 tahun yang terkorban akibat ditimpa ‘kerusi terbang’ di flat berkenaan tidak dapat melupakan peristiwa tersebut.

Kasthurivai, 48, sehingga kini masih trauma dan sentiasa teringatkan anak bongsunya, mendiang S Sathiwaran.

Dalam kejadian 15 Januari 2018, Sathiwaran bersama Kasthurivai yang baru ke kedai runcit di bawah blok sedang berjalan untuk pulang ke rumah mereka di tingkat 16.

Sebaik menghampiri tangga di PPR itu, sebuah kerusi pejabat berwarna biru melayang dari atas dan terkena kepala remaja tersebut.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan ibu kepada remaja berusia 15 tahun ang terkorban akibat ditimpa ‘kerusi terbang’ di flat berkenaan tidak dapat dilupakan oleh S Kasthurivai.

Kasthurivai, 48, berkata, sehingga kini dia masih trauma dan sentiasa teringatkan anak bongsunya, S Sathiwaran.

Dalam kejadian 15 Januari 2018, Sathiwaran bersama Kasthurivai yang baru ke kedai runcit di bawah blok sedang berjalan untuk pulang ke rumah mereka di tingkat 16.

Sampah yang tersangkut pada bumbung rumah penduduk.

Sebaik menghampiri tangga, sebuah kerusi pejabat berwarna biru melayang dari atas dan terkena kepala remaja tersebut.

Akibat hentaman kerusi itu, mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.