Keluarga edar poster cari Muhammad Syukur

Iklan
Portal Sinar Harian yang melaporkan mengenai kehilangan Muhammad Syukur.

KUALA SELANGOR - Keluarga kepada seorang lelaki, Muhammad Syukur Ma'ayob, 27, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu mengedarkan poster di beberapa premis bagi mengesan anak bongsu daripada enam beradik berkenaan.

Abangnya, Jalaludin Ma'ayob, 36, berkata, sebanyak 50 poster dijangka diedarkan di beberapa premis perniagaan sekitar kawasan pencarian bermula Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada permulaan, satu poster polis yang tertera maklumat berkaitan kehilangan Muhammad Syukur sudah diedarkan di sebuah kedai perkakasan di Sungai Buloh, Jeram.

"Kami akan mengedarkan poster ini di beberapa premis perniagaan lain bagi memudahkan orang ramai membantu mengesan Muhammad Syukur.

Iklan

"Gerak hati saya kuat mengatakan dia (Muhammad Syukur) berada di Sungai Buloh, Jeram dan usaha pencarian giat dilakukan di kawasan itu," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Jalaludin berkata, keluarganya tidak pernah berputus asa mencari Muhammad Syukur sama ada di lokasi tertentu atau melalui media sosial.

Iklan

"Setakat ini kami tidak menerima sebarang maklumat mengenai adik saya itu.

"Kami sekeluarga sentiasa berdoa supaya dia ditemui dalam keadaan selamat," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi keluarga Muhamad Syukur di talian 019-2526328 atau 01163378667.

Sinar Harian Sabtu lalu melaporkan, seorang bapa bimbang dengan keadaan keselamatan anak lelakinya yang tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu.

Ma'ayob Samuri, 84, berkata, pada hari kejadian, Muhammad Syukur, memaklumkan ingin keluar membeli roti canai sebelum ke tempat kerjanya di sebuah kilang alat ganti berhampiran rumahnya di Kampung Tambak Jawa di sini.