PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya sudah cukup sempurna walaupun tidak mempunyai pemain hebat seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Menurutnya, pemain sedia ada yang dimilikinya ketika ini sudah mampu untuk membawa cabaran The Citizens dalam kancah domestik mahupun di peringkat Liga Juara-Juara.
"Kami tidak mempunyai pemain yang boleh memenangi perlawanan bersendirian. Kami tidak ada Messi, Cristiano, Kylian Mbappe atau Neymar. Kami perlu melakukannya sebagai satu pasukan.
"Secara jujurnya saya mahu mempunyai pemain yang mampu menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan dan menjadi tonggak kepada pasukan. Saya bertuah jika ada pemain sebegitu.
"Tetapi, saya tidak akan menukar pemain yang saya ada ketika ini, musim ini. Semua pemain menunjukkan semangat dan kematangan dalam setiap perlawanan. Mereka adalah yang terbaik ketika ini.
"Kami pernah berada dalam situasi sukar dan kami berjaya bangkit dengan pemain yang ada ini. Saya percaya dengan kemampuan mereka," katanya.
Pasukan gergasi England itu kini sedang meniti kegemilangan selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Ahad sekali gus mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas liga.
Dengan beberapa pasukan pencabar kejuaraan seperti Manchester United dan Liverpool keciciran mata dalam beberapa perlawanan terakhir, The Citizens dilihat sebagai calon utama untuk memenangi saingan EPL musim ini.