ALOR SETAR - Orang ramai berpeluang mengabadikan nombor pendaftaran KFC pada kenderaan apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah membuka tender bidaan siri itu kepada umum.
Timbalan Pengarahnya, Abdul Tolib Ahmad berkata, nombor pendaftaran itu dijangka menarik perhatian ramai berikutan ia sinonim dengan jenama popular restoran makanan segera.
Beliau berkata, tender tersebut dibuka selama lima hari bermula Sabtu lalu dan akan berakhir pada jam 11.59 malam Rabu ini.
"Keputusan pemenang tender akan diumumkan dalam tempoh 24 jam iaitu pada Khamis,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Abdul Tolib berkata, JPJ Kedah menyasarkan kutipan bidaan nombor pendaftaran KFC ini bakal melonjak melebihi RM1 juta.
"Bidaan siri pendaftaran KFC boleh dibuat menerusi laman web Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).
"Orang ramai boleh membuat bidaan dengan memuat turun aplikasi JPJeBid di telefon pintar masing-masing. Mereka mempunyai dua hari lagi untuk berbuat demikian sebelum penyertaan ditutup,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya membuka tender nombor siri 2 hingga 9999 kepada orang ramai untuk dibida bagi membolehkan perkataan istimewa KFC diabadikan pada kenderaan mengikut perundangan.
Sebelum ini JPJ Kedah memperolehi lebih RM1.2 juta bagi bidaan siri nombor pendaftaran KFA yang sinonim dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Bidaan tertinggi yang direkodkan adalah nombor pendaftaran KEN mencecah kutipan mencecah RM4.8 juta pada tahun 2016.