Dua pengarah syarikat didakwa tipu bekal sarung tangan RM7 juta

Iklan
Dua pengarah syarikat dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pembekalan 670,000 kotak sarung tangan melibatkan kerugian RM7 juta, tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Dua pengarah syarikat pada Isnin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pembekalan 670,000 kotak sarung tangan melibatkan kerugian RM7 juta, tahun lalu.

Bagaimanapun, Razalif Mohamad Zain, 30, dan Mohd Razimi Ramli, 31, masing-masing pengarah syarikat Metamorphosis Skills Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah menipu Pengarah Syarikat Monosa Holding Sdn Bhd, Mohammad Nor Sakhawi Mohd Subri, 29, dengan memperdayakannya bahawa mereka boleh membekalkan 670,000 kotak sarung tangan Hartalega Nitrile Examination Glove sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang lebih kurang RM7 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Connaught, Cheras di sini, antara Jun hingga Julai 2020, mengikut Seksyan 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashraf Appoo.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Iklan