PUTRAJAYA - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.34 juta bagi pelaksanaan Dapur It'am 3.0 membabitkan 56 buah masjid dan surau terpilih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pelaksanaan Dapur It'am yang berkonsepkan 'kitchen soup' itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 130,000 golongan sasar.
Iklan
Iklan
"Melalui kerjasama penuh Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), juadah akan dihantar terus ke rumah asnaf, B40, jalanan dan barisan hadapan," katanya menerusi perkongsian di Facebooknya pada Isnin.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan melalui agensi agama di bawah tanggungjawabnya sentiasa berusaha memastikan sekurang-kurangnya terdapat makanan terhidang di atas meja golongan sasar.
"Dari pintu masjid, kami hantar terus juadah ke pintu rumah anda," katanya.
Beliau berkata, Dapur It'am mendapat kerjasama daripada kumpulan Facebook Suami Masak Apa Hari Ini? (SMAHI) dan Fendi Destinasi TV mengalu-alukan individu yang berminat untuk memasak di masjid dan surau.
"Tambahan Ramadan bakal menjelang, pasti Dapur It’am perlukan lebih ramai tukang masak untuk penyediaan juadah berbuka," katanya.