MAIS lancar e-faraid mudahkan pengurusan harta pusaka

Iklan
Sistem e-Faraid MAIS membolehkan masyarakat Islam menguruskan harta pusaka dengan lebih mudah dan pantas melalui sistem digital dalam talian. Gambar hiasan: Ahmad Shahir Makhtar

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan sistem e-Faraid MAIS bagi membolehkan umat Islam di negeri ini menguruskan harta pusaka dengan lebih mudah dan pantas melalui sistem digital dalam talian.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sebagai badan yang mengelola Baitulmal, MAIS sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik dan menjadi tempat rujukan utama dalam urusan pentadbiran harta pusaka milik orang Islam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, e-Faraid MAIS adalah sistem yang dibangunkan merangkumi penawaran perkhidmatan pengurusan harta pusaka, kaedah pengiraan secara faraid dan pengurusan fail serta pelaporan untuk pegawai yang mengurus.

"E-Faraid MAIS merupakan sistem pertama seumpamanya yang dihasilkan Majlis Agama Islam Negeri melalui bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 5(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Iklan

"Menariknya, pengguna dibekalkan dengan kalkulator pengiraan faraid atau K-Faraid MAIS bertujuan mendidik masyarakat untuk memahami kaedah pengiraan dan pembahagian harta pusaka secara faraid,” katanya selepas pelancaran e-Faraid MAIS ketika Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2021 dan pelancaran video korporat MAIS yang disiarkan menerusi aplikasi Zoom pada Isnin.

Majlis disempurnakan Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Iklan

Sementara itu, Ahmad Shahir berkata, pengguna yang ingin menggunakan K-Faraid MAIS hanya perlu memasukkan nama waris si mati melalui senarai atau carta waris sebelum memasukkan jumlah nilaian harta pusaka yang ditinggalkan si mati.

Katanya, hasil pengiraan akan memaparkan kadar bahagian waris-waris bersama jumlah harta melalui jadual pengiraan.

"Lebih mudah lagi dalam e-Faraid MAIS, pengguna hanya perlu memilih perkhidmatan yang ingin dikehendaki seperti permohonan penebusan, permohonan pusaka tiada waris, permohonan urus pusaka dan permohonan pembelian.

"Melalui sistem ini, MAIS akan melaksanakan pengurusan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada ahli waris,” katanya

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan e-Faraid MAIS boleh menggunakan sistem itu melalui pautan di http://efaraid.mais.gov.my/.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh dibuat dengan menghubungi Baitulmal, MAIS di talian 03-55143773/3772.