KUALA LUMPUR - Tiada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atau etnik Rohingya yang terlibat dalam program penghantaran pulang warga Myanmar menggunakan kapal tentera laut negara tersebut yang akan dilaksanakan pada 23 Februari 2021.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, Jabatan Imigresen merujuk kepada laporan di media massa dan portal berita atas talian mengenai program penghantaran pulang warga Myanmar itu.
"Ia hanyalah sebahagian daripada proses biasa pengusiran warga asing di depot Imigresen.
"Warga Myanmar yang terlibat dalam program ini terdiri daripada mereka yang ditahan di depot Imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 antaranya Seksyen 6(1)(c), tiada dokumen pengenalan diri dan beberapa kesalahan lain yang berkaitan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, dalam tempoh Pandemik Covid-19 ini, sejak Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020 Imigresen telah mengusir 37,038 warga asing membabitkan 17,002 Indonesia, Bangladesh (5,450), Myanmar (3,322), Thailand (2,358), Pakistan (1,493).
"Bagi tahun 2019 pula sejumlah 59,114 warga asing dari pelbagai warganegara telah di usir pulang," katanya.
Menurutnya, perbezaan yang agak besar dalam jumlah warga asing yang diusir pulang antara tahun 2020 sebanyak 37,038 dan tahun 2019 sebanyak 59,114.
"Ini disebabkan Pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan kebanyakan negara menutup pintu sempadan di samping mengurangkan jumlah penerbangan dan pengangkutan laut.
"Perkara ini telah memberi kesan kepada proses pengusiran warga asing dari depot Imigresen ke negara asal tahanan berkenaan," katanya.
Jelasnya, Imigresen merakamkan ucapan terima kasih kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur yang memberikan kerjasama dan mengatur penghantaran pulang warganegara mereka.