KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd memaklumkan telah menerima Surat Tuntutan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) hari ini berhubung tuntutan supaya ia menarik balik kenyataan media yang dibuat sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia Riad Asmat dan CEO AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata syarikat penerbangan itu bagaimanapun tidak terkejut dengan satu lagi respon undang-undang MAHB membabitkan isu tersebut.
Iklan
Iklan
"Kami keliru kerana pengendali lapangan terbang itu terus menggunakan kedudukan dominannya serta ancaman mengambil tindakan undang-undang bagi menyekat ulasan yang adil,” kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat penerbangan itu turut menyifatkan tindakannya itu sebagai maklum balas terhadap saman yang difailkan MAHB membabitkan caj perkhidmatan penumpang (PSC).
"Dalam usaha menggalakkan dialog terbuka dan mencari penyelesaian, kami menawarkan perantara sepertimana ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk meleraikan semua isu tertangguh, namun MAHB menolaknya.
"Kami juga berpendapat bahawa pertikaian mahkamah itu akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan industri penerbangan Malaysia. Bagaimanapun, kami tetap mempertahankan kenyataan yang telah dibuat dan beranggapan ancaman tindakan undang-undang itu adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya.
Jelas AirAsia, pihaknya akan menggunakan semua saluran yang ada untuk mempertahankan diri daripada semua tindakan, sama ada menerusi perantara atau arbitrasi yang ditetapkan undang-undang atau"di mahkamah undang-undang sepertimana diinginkan MAHB.” - Bernama