Potong gaji ADUN beli peranti elektronik bantu pelajar

Iklan
Cadangan pemotongan gaji ADUN selama tiga bulan bertujuan bantu pelajar di Sarawak jalani sesi PdPR dengan lebih baik dan teratur. - Foto 123RF, gambar kecil: Abang Aditya

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak disaran memotong gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama tiga bulan untuk disalurkan bagi pembelian peranti elektronik kepada pelajar sekolah yang mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PBS), Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi berkata, kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu lebih prihatin kepada nasib pelajar di Sarawak daripada golongan miskin bandar dan miskin luar bandar yang kini amat memerlukan peranti elektronik bagi tujuan PdPR.

Iklan
Iklan

"Kita tidak mahu anak-anak ini ketinggalan dalam pelajaran mereka hanya kerana tidak mampu membeli peranti elektronik sekali gus ia akan merugikan dan mereka akan ketinggalan dari segi pelajaran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi PSB Tanjung Manis berkata, GPS seharusnya mengambil berat masalah pelajar ketika ini dengan memberi peranti elektronik kepada semua pelajar di Sarawak secara percuma dengan menggunakan peruntukan kerajaan Negeri.

Iklan

"Dalam pengumuman Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 oleh Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) tempoh hari, tiada satu pun yang dikhususkan untuk pembelian peranti elektronik bagi pelajar sekolah di Sarawak.

"Terdapat hampir 1,000 permohonan dari seluruh Sarawak bukan hanya di Parlimen Tanjong Manis dan ada juga yang memohon terus kepada saya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, cadangannya itu bukannya untuk mencari salah sesiapa tetapi untuk sama-sama membantu pelajar di Sarawak dalam menjalani pelajaran mereka dengan lebih baik dan teratur.

Bermula minggu lalu, Pusat Khidmat Rakyat PSB Tanjong Manis sudah mula mengagihkan bantuan peranti elektronik kepada pelajar yang memerlukan iaitu 100 unit tablet disediakan untuk pelajar Tingkatan Enam, 200 telefon pintar untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dan 50 komputer riba untuk pelajar universiti. - Bernama