Pasukan Liga-M mula turun padang

Iklan
Barisan pemain Selangor FC dan Selangor 2 mula berlatih di Padang Latihan FAS pada Isnin. Foto FB MFL

SELANGOR FC dan Selangor 2 kembali menjalani sesi latihan di Padang Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Shah Alam pada Isnin selepas berjaya melengkapkan proses yang diperlukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidun berkata, pengalaman musim lalu telah menjadikan mereka lebih bersedia serta tidak berdepan banyak kesukaran bagi melengkapkan syarat MFL.

Iklan
Iklan

"Kami telah menghantar semua laporan yang diperlukan semalam (Ahad) kepada MFL dan MFL juga telah memberikan kelulusan pada hari yang sama. Perkara ini bukan sesuatu yang janggal kerana kami pernah lakukan sebelum ini.

"Ujian calitan Covid-19 telah dilakukan pada Sabtu lalu selain padang latihan telah disanitasi serta kami menyerahkan beberapa dokumen yang diperlukan MFL, maka semuanya telah selesai dan kami boleh berlatih.

Iklan

"Pasukan akan berlatih seperti biasa iaitu latihan secara kontak penuh dan cara SOP (prosedur operasi standard) yang kami pilih adalah home quarantine,” katanya.

Johan berkata, beliau yakin pegawai serta pemain mampu menjaga SOP yang ditetapkan di bawah home quarantin’ bagi memastikan tiada masalah yang boleh timbul jika ada dalam kalangan pemain terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Iklan

"Semua pemain sedar sepenuhnya akan perkara ini dan mereka tahu tanggungjawab mereka untuk bersama-sama membantu pencegahan Covid-19 ini kerana kesannya pasti besar kepada Liga-M.

"Jika ada yang tidak menjaga SOP, sudah pasti situasi berkenaan akan berikan kesan kepada semua orang tetapi saya tidak bimbang dengan komitmen semua pegawai serta pemain dalam perkara ini,” ujarnya.

Selain Selangor FC dan Selangor FC 2, pasukan lain seperti PJ City FC serta UiTM FC juga telah mendapat kebenaran untuk melakukan sesi latihan bermula Isnin.

CEO KL United FC, Stanley Bernard pula berkata, pasukannya berada dalam proses terakhir sebelum dapat menyerahkan perkara yang diperlukan MFL seperti ujian calitan (PCR) dan surat kebenaran pergerakan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita sedang melakukan segala mengikut apa yang dimahukan SOP untuk memastikan permohonan seperti kebenaran daripada pihak polis dapat dikeluarkan dan kami juga sedang lakukan PCR.

"Pasukan akan jalani SOP secara home quarantine dan pemain diharap dapat mematuhi SOP yang ditetapkan dengan datang serta pulang ke rumah secara individu. Mereka tidak dibenarkan berada di kawasan umum.

"Pemain cukup teruja untuk memulakan latihan pra musim biarpun dalam SOP yang ketat. Walaupun tempoh yang singkat, saya harap pemain dapat bersedia sepenuhnya bagi menghadapi saingan liga yang bermula bulan depan," katanya.

Pada 9 Februari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) mulai Isnin.