BANGKOK - THAILAND. Thailand, hari ini membebaskan bekas pemain bola sepak Bahrain yang telah ditahan lebih dua bulan lalu.
Keputusan itu dibuat selepas Bahrain enggan meneruskan langkah untuk membawa pulang Hakeem al-Araibi, 25, yang meninggalkan negara itu pada 2014 dan menerima status pelarian di Australia.
Dia ditahan di lapangan terbang Bangkok ketika mahu berbulan madu pada November lalu selepas Interpol mengeluarkan notis atas permintaan Manama.
Pegawai di pejabat Peguam Negara Thailand, Chatchom Akapin berkata, mahkamah meluluskan usul pendakwa untuk menggugurkan kes tersebut selepas Bahrain menarik balik permintaan ekstradisi mereka.
"Tiada sebab untuk memberkasnya lagi. Dia mempunyai hak untuk menentukan ke mana dia akan pergi selepas ini. Dia kini bebas," ujarnya.
Bagaimanapun, tidak jelas bila Manama membuat keputusan itu.
Penahanan Araibi turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa malah pihak berkuasa Canberra dan beberapa pemain bola sepak serta dua penyelam warga Australia yang membantu operasi menyelamat 12 remaja pemain bola sepak dan jurulatih mereka di gua Tham Luang turut menggesa Thailand membebaskannya.
Sebelum ini, Araibi mendakwa dia mungkin akan didera secara fizikal jika kembali semula ke Bahrain dan lelaki terbabit berhasrat untuk kembali semula ke Australia dan bermain untuk kelab bola sepak Melbourne.
Dia didakwa melakukan vandalisme ke atas balai polis ketika protes antikerajaan di Bahrain, namun Araibi menafikan tuduhan tersebut dan memaklumkan dia sedang bermain bola sepak ketika kejadian tersebut. - Agensi