KUALA LUMPUR - Program penghantaran pulang warga Myanmar ke negara asal mereka pada 23 Februari ini tidak melibatkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) atau etnik Rohingya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, program penghantaran pulang warga Myanmar itu adalah sebahagian daripada proses biasa pengusiran rakyat asing di depot imigresen menggunakan kapal tentera laut negara itu.
Beliau berkata, warga Myanmar yang terlibat dalam program itu terdiri daripada mereka yang ditahan di depot imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan.
Katanya, Imigresen Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Myanmar di Malaysia yang memberi kerjasama dan mengatur penghantaran pulang rakyat mereka.
"Dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, sejak Januari hingga Disember tahun lepas, imigresen mengusir sejumlah 37,038 rakyat asing.
"Mereka terdiri daripada 17,002 warga Indonesia, Bangladesh (5,450 orang), Myanmar (3,322), Thailand (2,358), Pakistan (1,493) dan selebihnya lain-lain warganegara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Khairul Dzaimee berkata, terdapat perbezaan agak besar dari segi pengusiran pulang pendatang tanpa izin pada tahun 2020 dan 2019.
"Pada 2019 sejumlah 59,114 warga asing daripada pelbagai warganegara diusir pulang ke negara asal mereka... ini disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
"Kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing di samping turut mengurangkan jumlah penerbangan dan pengangkutan laut. Perkara ini telah memberikan kesan kepada proses pengusiran warga asing dari depot imigresen ke negara asal tahanan berkenaan,” katanya. - Bernama