RAKYAT di negara mana pun tidak suka tampuk kepimpinan negaranya dirampas oleh mereka yang gila kuasa memerintah.
Namun, itulah yang terjadi dalam keadaan situasi dunia mengalami pandemik yang serius untuk ditangani yang mana rakyat negara Myanmar lalui waktu sukar untuk menerima apa yang berlaku ini.
Dan inilah perjuangan mereka membela kedaulatan negaranya daripada dirobek oleh pihak tentera apabila puluhan ribu rakyat di beberapa kota Myanmar keluar dalam himpunan besar-besaran untuk hari kedua berturut-turut pada Isnin (8 Februari 2021).
Ia bertujuan memprotes rampasan kuasa tentera beberapa hari yang lalu sebagai sebahagian daripada apa yang boleh dianggap gelombang tunjuk perasaan terbesar di negara itu sejak satu dekad ini.
Tentera mengumumkan rampasan kuasa menentang kuasa berdasarkan tuduhan yang tidak ada bukti bahawa pilihan raya pada November lalu berlakunya penipuan.
Berikutan itu, jeneral tentera mengisytiharkan keadaan darurat selama setahun dan juga mengerahkan pasukannya di ibu kota, Naypyidaw untuk mengawal mereka.
Sebilangan besar pemimpin Parti Kongres Nasional yang berkuasa yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi serta Presiden Republik, Win Myint telah dikenakan tahanan rumah sejak kudeta dan pengisytiharan darurat ketenteraan.
Tentera mengerahkan polis anti-rusuhan dengan pakaian seragam lengkap di persimpangan penting dan berhampiran Universiti Yangon, tetapi belum ada laporan mengenai keganasan di kawasan itu walaupun ribuan penunjuk perasaan menuju ke Pagoda Sula di sekitar universiti.
Seorang penunjuk perasaan berkata sebagaimana dilaporkan BBC:
"Pertama, kami tidak ingin kembali ke pemerintahan ketenteraan, kami tidak ingin hidup dalam ketakutan. Kedua, kami ingin ibu Suu Kyi dibebaskan kerana penahanannya adalah tidak adil."
Sebelumnya, Suu Kyi dituduh melanggar peraturan komersial dan dikenakan di bawah tahanan rumah di ibu negara, Naypyidaw. Berikutan itu, tentera Myanmar mengenakan keadaan darurat selama setahun dan berjanji akan mengadakan pilihan raya pada akhir tempoh itu.
Sementara itu, ketua tentera mempertahankan tindakan rampasan kuasa dalam ceramah pertamanya di televisyen di tengah-tengah tunjuk perasaan besar-besaran.
Min Aung Hlaing mengatakan bahawa pilihan raya November yang dimenangi pemimpin pilihan yang ditahan, Suu Kyi adalah tidak adil.
Justeru, tentera mula mengenakan sekatan di beberapa kawasan termasuk perintah berkurung dan sekatan untuk berkumpul.
Maka, protes besar-besaran meletus pada hari Ahad dengan mogok di seluruh negara untuk menentang kudeta tersebut.
Ucapan Min Aung Hlaing lebih kepada penyebab rampasan kuasa dan pada tahap yang lebih rendah, mengancam penunjuk perasaan.
Beliau mengatakan bahawa suruhanjaya pilihan raya telah gagal menyiasat penyelewengan dalam daftar pemilih dalam pilihan raya November.
Namun, suruhanjaya itu mengatakan tidak ada bukti untuk menyokong tuduhan penipuan yang terjadi.
Justeru, beliau berjanji akan mengadakan pilihan raya baru dan menyerahkan kuasa kepada pemenangnya dan suruhanjaya pilihan raya reformasi baru akan memantaunya. Beliau turut meminta rakyat negara itu untuk menerima fakta yang benar serta tidak mengikuti perasaan peribadi.
Jeneral itu tidak secara langsung mengancam para penunjuk perasaan, hanya mengatakan bahawa tidak ada yang dapat melawan undang-undang.
Walaupun begitu, tentera telah melakukan tindakan yang keras sebelum ini termasuk pada tahun 1988 dan 2007.
Tentang Myanmar
Myanmar terletak di Asia Tenggara dengan populasi 54 juta penduduk, bersempadan dengan Bangladesh, India, China, Thailand dan Laos.
Negara itu tetap berada di bawah pemerintahan ketenteraan secara langsung atau tidak langsung dari tahun 1962 hingga 2011 yang mendedahkan negara itu kepada kecaman dan sekatan antarabangsa.
Kerajaan yang dipimpin Suu Kyi mula berkuasa pada tahun 2015 tetapi negara itu menyaksikan serangan terhadap minoriti Muslim Rohingya setelah hanya dua tahun pemerintahannya yang menyebabkan perpindahan ratusan ribu minoriti itu lari ke Bangladesh.
Walaupun begitu, beliau masih sangat popular di negara asalnya itu.
* Atriza Umar berkhidmat di Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM Malaysia