KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal di Kampung Petani, Pengkalan Datu, Sering di sini hilang pendapatan selepas terlantar akibat patah kaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.
Maisyarah Jaffar, 37, yang bekerja sebagai tukang sapu ketika itu menunggang motosikal dan berlanggar dengan motosikal lain di Wakaf Aik, Bachok pada 27 Disember.
Akibatnya, dia cedera di kepala, patah tengkuk dan kaki kiri serta koma selama dua minggu mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Menurut Maisyarah, dua anaknya yang membonceng, Mohamad Nor Amirul Wafi Norhisham,12, dan Noramalina Wafi, 8, masing- masing patah paha serta betis kiri tetapi sudah sembuh manakala anak sulung, Nor Amajida Wafi, 14, terselamat.
Maisyarah yang berasal dari Sabah berkata, mereka ketika itu dalam perjalanan ke rumah keluarga bekas suaminya di Wakaf Aik, Bachok.
"Kaki saya dipasang besi dan mengambil masa lama untuk sembuh. Saya terpaksa menggunakan lampin pakai buang manakala makan minum bergantung harap pada jiran dan keluarga bekas suami,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, ketua kampung ada memberi beras dan permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini dalam proses selepas pihak tersebut datang bertemunya.
"Buat masa ini dua anak tinggal di rumah nenek mereka di Wakaf Aik manakala anak sulung menjaga saya.
"Bapa angkat bekas suami membantu benarkan saya tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) miliknya dan bantu membayarkan elektrik serta air,” katanya.
Maisyarah juga buntu memikirkan masa depan keluarganya kerana perlu membesarkan anak-anak selepas bercerai tahun lalu.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan 1211929000042172 Maisyarah Jaffar atau menghubungi 013 5872588.