Dua beranak antara 21 individu ditahan berjudi

Iklan
Pegawai serbuan membuat pemeriksaan di lokasi serbuan di Taman Impian Murni, Bukit Mertajam awal pagi Selasa.

BUKIT MERTAJAM - Dua beranak antara 21 individu yang ditahan ketika sedang leka berjudi di sebuah rumah di Taman Impian Murni, di sini awal pagi Selasa.

Dalam serbuan jam 1 pagi, wanita berusia 49 tahun itu dikatakan hanya merelakan perbuatan anaknya menganjurkan aktiviti pertaruhan di rumah mereka walaupun menyedari perbuatan itu menyalahi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

Namun disebabkan mereka masih lagi dalam mood perayaan Tahun Baharu Cina, wanita itu membiarkan anak lelakinya berusia 26 tahun membawa rakan-rakan datang ke rumah untuk berjudi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, ketika serbuan dilakukan kesemua mereka tidak sempat melarikan diri dan hanya tergamam sebaik melihat kehadiran anggota polis.

Iklan

Menurutnya, serbuan Ops Limau diketuai Asisten Superintendan Johari Yahya bersama anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah SPT dilakukan selepas mendapati berlaku aktiviti mencurigakan di dalam rumah terbabit.

Johari mengambil keterangan daripada wanita berusia 49 tahun yang membenarkan anaknya menjalankan aktiviti perjudian di rumah mereka di Taman Impian Murni, Bukit Mertajam awal pagi Selasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan aktiviti pertaruhan yang melibatkan wang ribuan ringgit dan menjadikan kawasan ruang tamu sebagai tempat untuk berjudi.

Iklan

"Kita telah merampas peralatan untuk berjudi seperti daun terup, kerusi dan meja selain wang tunai lebih RM30,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Shafee berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan lima orang wanita berusia di antara 21 hingga 50 tahun.

Katanya, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

"Selain ditahan atas kesalahan berjudi mereka juga dikompaun kerana ingkar PKP.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4 (1) akta yang sama serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar PKP," katanya.

Polis merampas wang tunai lebih RM30,000 dalam serbuan Ops Limau di Taman Impian Murni, Bukit Mertajam awal pagi Selasa.