MDV biaya RM912.4 juta projek teknologi hijau

Iklan
Khairul Azwan

MALAYSIA Debt Ventures Berhad (MDV) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM912.4 juta di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) melibatkan 64 syarikat teknologi hijau di Malaysia sejak 2010.

Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata, jumlah pembiayaan itu telah menjadikan MDV sebagai pembiaya tertinggi di bawah skim tersebut dan meletakkannya sebaris dengan bank-bank komersial terbesar di Malaysia dari segi pembiayaan teknologi hijau di negara ini.

Iklan
Iklan

"MDV kini sedang membiayai sebanyak 38 projek dengan nilai pembiayaan berjumlah RM381 juta di bawah sektor tenaga hijau di Malaysia.

"Daripada jumlah itu, sejumlah RM255 juta merupakan pembiayaan bagi projek tenaga boleh diperbaharui dan RM82.5 juta pula bagi projek kecekapan tenaga. Baki berjumlah RM43.1 juta pula untuk membiayai pelbagai projek hijau yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurut Khairul Azwan, bagi keseluruhan projek yang telah dibiayai oleh MDV itu, kapasiti elektrik yang dihasilkan daripada stesen-stesen janakuasa berasaskan biogas, biomas, mini hidro dan solar adalah sebanyak 152 megawatt.

"MDV sentiasa konsisten dalam usaha untuk menyokong sektor teknologi hijau di Malaysia dan komited untuk mencari dana bagi menyokong program-program pembiayaan kami,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, selaras dengan itu, MDV juga kini dalam usaha untuk melancarkan sebuah program sukuk berjumlah RM2 bilion pada tahun ini untuk menyokong keperluan pembiayaan MDV bagi tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

"Program sukuk yang baru ini telah pun diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan menjangkakan dalam suku ketiga tahun ini, sebahagian daripadanya akan mula diterbitkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, MDV telah memperkenalkan program pembiayaan Energy Performance Contracting Fund (EPC) bagi syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO) yang terlibat dalam perlaksanaan program cekap tenaga dalam sektor bangunan bagi meningkatkan pembiayaan dalam sektor kecekapan tenaga serta mendorong pelaksanaan projek kecekapan tenaga di negara ini.

"Program EPC ini telah diperkenalkan oleh MDV dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), syarikat kami akan memberikan pembiayaan prinsipal kepada peminjam.

"Kerajaan melalui KeTSA akan memberi subsidi kepada kos pembiayaan bukan prinsipal seperti kos jaminan untuk memastikan peminjam mendapat kemudahan pinjaman pada kos yang lebih kompetitif dan munasabah,” katanya.

Khairul Azwan berkata, pada masa ini, MDV merupakan satu-satunya agensi pembiayaan yang menawarkan program seperti EPC ini di Malaysia.

"MDV merupakan antara pembiaya terawal di negara ini yang telah mengenal pasti potensi sektor teknologi hijau untuk menjadi satu komponen penting dalam sektor teknologi negara secara keseluruhannya bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, MDV akan terus membiayai syarikat berasaskan teknologi yang terlibat dengan projek berkaitan teknologi hijau termasuk projek kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.

"Walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19, sektor teknologi hijau akan terus berkembang seiring dengan matlamat negara menjadi peneraju dalam sektor itu di Asia.

"MDV sebagai pembiaya teknologi negara akan terus memainkan peranan penting dalam sektor ini dalam menyokong kerajaan untuk mencapai sasaran pembangunan lestari negara,” katanya.