Lima kematian akibat Ebola di Guinea

Iklan
Beberapa pekerja kesihatan memakai pakaian pelindung virus Ebola di sebuah hospital di Conakry pada tahun 2014. - Foto AFP

CONAKRY - Lima orang meninggal dunia akibat virus Ebola di Guinea, kata sebuah agensi kesihatan pada Isnin ketika kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan dan kerajaan mula untuk melaksanakan tindak balas berikutan penularan wabak itu.

Pada Sabtu lalu, Guinea mengumumkan penularan wabak tersebut iaitu yang pertama kali berlaku selepas epidemik itu berlaku antara tahun 2013 hingga 2016 yang menyebabkan 11,300 orang meninggal dunia di Guinea, Liberia dan Sierra Leone.

Iklan
Iklan

Menurut laporan oleh sebuah agensi kesihatan di negara itu bertarikh 15 Februari lalu, seramai lima orang sudah meninggal dunia akibat virus tersebut sekali gus meningkatkan lagi bilangan yang terkorban akibat Ebola.

Menurut AFP, pada Isnin, seramai empat orang dilaporkan meninggal dunia akibat wabak tersebut.

Iklan

Hanya seorang mangsa disahkan positif Ebola manakala empat lagi disenaraikan sebagai kes yang mempunyai kemungkinan dikaitkan dengan virus tersebut.

Dua orang telah disahkan positif Ebola, kata agensi kesihatan tersebut manakala 10 orang lagi menunjukkan simptom-simptom dijangkiti virus itu.

Iklan

Mangsa yang pertama ialah seorang jururawat dari Nzerekore dekat bandar Gouecke di selatan negara tersebut dan berusia 51 tahun serta meninggal dunia pada Januari lalu.

Dua daripada saudara lelakinya yang menghadiri pengebumian jururawat tersebut pada 1 Februari lalu juga telah meninggal dunia, kata seorang pegawai kesihatan yang enggan namanya didedahkan.

Masih tidak jelas tentang identiti mangsa yang seterusnya atau adakah mereka hadir pada hari pengebumian itu.

Perdana Menteri, Ibrahima Kassory Fofana berkata, Guinea telah mewujudkan satu struktur bagi menghadapi epidemik tersebut.

Penghidap Ebola akan mengalami demam teruk dan dalam kes yang lebih buruk akan menyebabkan pendarahan tanpa henti dan ia dijangkiti melalui kontak rapat.

Mereka yang menjaga pesakit itu mempunyai risiko terkena jangkitan virus tersebut.

Seorang perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Guinea, Alfred George Ki-Zerbo berkata pada Isnin lalu, bahawa vaksin Ebola mungkin tiba di negara tersebut yang mempunyai 13 juta penduduk dalam tempoh 72 jam.

Virus itu dipercayai berasal dari kelawar dan pertama kali dikesan di Zaire kini Republik Demokratik Congo pada tahun 1976. - Agensi