SHAH ALAM - Kerajaan perlu bersikap ‘gentleman’ dalam melaksanakan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun menerusi pendaftaran pemilih secara automatik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, usia kelayakan mengundi itu selesai dibahaskan di Dewan Rakyat dan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Menurutnya, ahli Parlimen diminta tidak menukar pendirian semata-mata undi muda tidak berpihak kepada parti kerajaan.
"Kalau 100 peratus fikir kepentingan politik pun, agak-agak sengaja lewatkan ni orang tak marah? Lebih 21 tahun pun akan hukum.
"#Undi18, menang atau kalah belum tentu tapi pihak yang dilihat ‘main kasar', dijamin hilang kredibiliti. Pertimbangan pemimpin politik muda harus menjangkau jengka pendek. Kalau halang #Undi18 hari ini, sekalipun bertahan PRU15, siap sedia kumpulan itu (pengundi 18 tahun) tak akan lupa sewaktu PRU16,” katanya di Twitter pada Selasa.
Dalam ciapan sama, Shahril menegaskan generasi muda mesti diberi hak dan kepercayaan untuk menentukan masa depan mereka dengan mengambil kira cabaran dihadapi golongan itu pada masa kini.
Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.