Pulau Pinang gesa RUU Gangguan Seksual segera dibentang

Iklan
Chong Eng

GEORGETOWN - Pulau Pinang menyokong gesaan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual yang lama tertangguh supaya dibentangkan segera di Parlimen untuk mewujudkan persekitaran lebih selamat.

Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng berkata, gesaan itu adalah berdasarkan beberapa kejadian yang berlaku termasuk dakwaan gangguan seksual oleh seorang anggota polis terhadap seorang wanita ketika sekatan jalan raya, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan adanya RUU tersebut, ia dipercayai dapat meningkatkan pemahaman dan kesedaran masyarakat terhadap isu tersebut.

"Kejadian yang berlaku pada 12 Februari lalu yang tular di media sosial membuktikan bahawa perlunya RUU Gangguan Seksual untuk dibentangkan segera.

Iklan

"Saya percaya, dengan RUU ini, ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu ini susulan RUU Gangguan Seksual akan menerangkan dengan jelas maksud gangguan seksual itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Chong Eng, dengan adanya RUU tersebut, ia akan membantu mangsa mencari saluran yang tepat untuk mengadu sekiranya berlaku gangguan seksual ke atas mereka.

Iklan

"Saya menyokong gesaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh yang meminta supaya RUU Gangguan Seksual dibentangkan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat daripada gangguan seksual bagi wanita, lelaki dan kanak-kanak (perempuan dan lelaki) di negara ini.

"Saya juga menggesa agar tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa terhadap kes melibatkan gangguan seksual agar mangsa dapat kembali kepada kehidupan seharian tanpa merasa takut akan terus diganggu," katanya.

Sebelum ini, RUU berkaitan gangguan seksual dijangka siap Mac ini dan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, draf rang undang-undang it dalam peringkat akhir untuk penelitian Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) yang mendesak orang awam untuk berhenti menyalahkan mangsa melalui komen negatif serta menghina di media sosial.

"Ketika ini, masyarakat tidak sepatutnya membuat komen negatif sebaliknya melihat keberanian mangsa membongkar perlakuan tidak senonoh itu dari sudut positif.

"Kerajaan Pulau Pinang, badan bukan kerajaan dan tokoh individu bersedia untuk memberi bantuan dan sokongan kepada mangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bukan berniat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya ingin mengakhiri budaya gangguan seksual ini dihentikan.

Untuk rekod, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,218 kes gangguan seksual dilaporkan dalam tempoh antara 2013 hingga 2017.

Ia sebahagian besar melibatkan wanita iaitu 79 peratus manakala 21 peratus melibatkan lelaki namun kebanyakan mereka merupakan kanak-kanak.