CANBERRA - Perdana Menteri (PM) Australia, Scott Morrison memohon maaf kepada seorang wanita yang mendakwa dirinya diperkosa di Parlimen negara itu.
Menerusi laporan Reuters pada Selasa, Morrison juga berjanji akan membuka kertas siasatan mengenai kes tersebut.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan saya benar meminta maaf. Saya mahu pastikan setiap wanita yang bekerja di sini berasa selamat," kata Morrison.
Wanita itu didakwa diperkosa di pejabat Menteri Pertahanan, Linda Reynolds pada Mac 2019 oleh seseorang yang bekerja dibawah parti Liberal.
Dia juga memaklumkan perkara itu kepada media tempatan dan pihak polis pada awal April 2019, namun tidak berniat membuat aduan formal kerana bimbang kehilangan kerjayanya.
Polis Canberra mengesahkan pihaknya bercakap dengan pengadu pada April 2019 tetapi wanita itu memilih untuk tidak membuat aduan rasmi.
Wanita itu mengatakan, dia memberitahu pegawai kanan pejabat Reynolds mengenai kejadian tersebut.
Reynolds pada Isnin mengesahkan makluman mengenai aduan itu tahun lalu tetapi menafikan wanita itu dilarang membuat laporan polis.
Tuduhan tersebut meningkatkan lagi tekanan ke atas Morrison selepas beberapa tuduhan mengenai tingkah laku tidak wajar terhadap wanita dalam kalangan pemimpin parti Liberal seperti mana dilaporkan sebelum ini.
Berhubung insiden memalukan itu, Morrison telah melantik Jabatan Perdana Menteri dan pegawai Kabinet, Stephanie Foster untuk mengkaji semula proses aduan di tempat kerja sementara Ahli Parlimen ditugaskan menyiasat budaya tempat kerja di Parlimen.