‘Bank Akhirat’ pandu lalu

Iklan
‘Bank Akhirat’ atau tabung infaq pandu lalu di hadapan Masjid Kampung Baru memudahkan umat Islam bersedekah dan menyumbang kepada masjid.

BENTONG - Usaha Masjid Kampung Baru wujudkan tabung infaq secara pandu lalu di hadapan pekarangan masjid perlu dicontohi masjid-masjid lain di negeri ini.

Tabung diberi nama ‘Bank Akhirat’ itu difahamkan satu-satunya yang ada di Pahang bertujuan memudahkan umat Islam bersedekah ketika pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Pengerusi masjid, Datuk Zainal Abidin berkata, idea tabung infaq ini diletakkan di hadapan pekarangan pintu masuk masjid tercetus setelah masjid-masjid diarah tutup berikutan Covid-19.

Menurutnya, apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana seluruh negara tahun lalu, sumber masjid turut terjejas kerana tiada lagi sumbangan dan sedekah orang ramai diberi kepada masjid.

Iklan

"Susulan itu, pada mulanya, pihak masjid terpaksa mengangkut tabung masjid dan diletakkan di hadapan luar masjid setiap hari bagi kemudahan orang ramai yang mahu bersedekah dan menyumbang.

"Selepas beberapa bulan, maka timbul idea ahli jawatankuasa masjid mencadangkan diletakkan sebuah tabung statik di hadapan masjid dan tidak perlu dialih setiap hari.

Iklan

"Melihat kepada rasional cadangan tersebut, pihak masjid telah menempah sebuah tabung khas di Kajang dengan dilengkapi ciri-ciri keselamatan.

"Pihak masjid namakan tabung tersebut sebagai ‘Bank Akhirat’ dengan harapan usaha ini dapat memberi kemudahan kepada kariah, umat Islam dan orang ramai bersedekah secara pandu lalu tanpa perlu masuk ke masjid,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Khamis lalu, tabung infaq secara pandu lalu yang baharu beroperasi sepenuhnya dua bulan lalu dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz, Pegawai Agama Islam Bentong, Badaruddin Ahmad Bustami dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung, Kampung Baru, Anuar Mokhtar Mat Zin.

Turut diadakan pada majlis tersebut Majlis Tazkirah dan Munajat Khas serta penyampaian sumbangan oleh Syed Ibrahim kepada ahli kariah masjid terpilih di negeri ini menerusi sumbangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Syed Ibrahim (kiri) merasmikan tabung infaq pandu lalu atau ‘Bank Akhirat’ di Masjid Kampung Baru, Bentong, Khamis lalu.

Sumbangan imarah rumah ALLAH

Zainal berkata lagi, pihak masjid mengalu-alukan sumbangan dan sedekah orang ramai bagi membantu mengimarahkan rumah ALLAH ini kerana Masjid Kampung Baru tidak mempunyai sumber lain selain dari sumbangan orang ramai.

Katanya lagi, selain dapat menampung pengurusan masjid, sedekah dan infaq orang ramai inilah juga pihak masjid dapat menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim kariah masjid iaitu sebanyak dua kali setahun.

"Namun begitu, alhamdulillah sejak tabung infaq secara pandu lalu ini mula diletakkan sejak dua bulan lalu, kutipan mingguan masjid meningkat kepada 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Sementara itu, Imam 1 Masjid Kampung Baru, Mat Nawi Zakaria berkata, banyak kelebihan dan kebaikan bersedekah sepertimana disebut dalam al-Quran dan hadis.

Beliau berkata, ulamak turut menyifatkan bersedekah ini merupakan ibadah dan sangat dimuliakan di sisi ALLAH.

"Kita berharap niat sedekah dan infaq oleh pemberinya akan diberi imbuhan dan ganjaran di akhirat kelak,” katanya.

Jelasnya lagi, pihak masjid akan mempamerkan beberapa keratan ayat al-Quran dan hadis di tabung tersebut bagi menyemarakkan lagi semangat umat Islam bersedekah.

Zainal (empat, tengah dari kanan) dan Mat Nawi (kiri) bersama AJK Masjid Kampung Baru bergambar dengan tabung infaq pandu lalu di hadapan masjid.

Tabung pandu lalu sesuai ketika Covid-19

Sementara itu, Syed Ibrahim selepas merasmikan tabung ‘Bank Akhirat’ tersebut berkata, usaha pengurusan masjid ini wajar dicontohi masjid-masjid lain di Pahang.

Beliau yang juga ADUN Kerdau berkata, ketika penularan pandemik Covid-19, tabung secara pandu lalu ini amat bersesuaian sekali.

"Ketika kita dilarang menggerakkan tabung masjid bergerak dalam masjid seperti solat Jumaat, tabung seperti ini membolehkan umat Islam berterusan memberi sumbangan dan sedekah sekali gus bantu masjid mengimarahkan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan,” katanya.

Pada masa sama, Syed Ibrahim yang turut menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan meminta umat Islam terus memohon doa agar dijauhi bahaya Covid-19.

"Kita mohon kepada ALLAH SWT supaya kita diringankan ujian Covid-19 ini dan diangkat segala wabak,” katanya.

Kepada yang mahu menyampaikan infaq dan sedekah bolehlah disalurkan ke akaun masjid iaitu akaun Agro Bank (2-00-6142-00000130-5) bagi sumbangan kepada anak yatim kariah dan akaun Maybank (556132054407) atau Bank Rakyat (11-0141904-8) bagi sumbangan kepada masjid.