KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur mengadakan Hari Bersama Pesara Polis, Bekas Polis dan Petugas Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan golongan terbabit menerima bantuan bayaran RM500 sekali bayar (one-off).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya amat menghargai keputusan kerajaan untuk memberi bantuan itu kepada pesara polis, bekas polis dan petugas polis era darurat.
Menurutnya, ini termasuk Polis Hutan Simpanan, Jungle Squad, Senoi Praaq, Pengakap Sempadan (BS) Sabah dan Sarawak, Polis Tambahan (AP), Konstabel Tambahan (EPC), Konstabel Khas (SC), Konstabel Khas Wanita (WSC), Penolong Penguasa Polis Kontrak, Inspektor Kontrak, Pegawai Kampung (HG), Sarawak Constabulary (SWC) dan North Borneo Armed Constabulary (NBAC) yang masih hidup.
"Bagi tujuan ini, golongan berkenaan yang mahu membuat permohonan perlu mengemaskini maklumat di pautan http://epesara@rmp.gov.my.
"Pemohon perlu menyediakan dokumen sokongan yang disahkan seperti disyaratkan di dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bil 7/2008," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, bagi pesara polis, mereka perlu membawa salinan kad pengenalan awam, salinan kad pesara polis atau kad pesara JPA dan salinan akaun bank atau penyata bank.
Katanya, untuk bekas polis atau petugas polis pula diminta membawa salinan kad pengenalan awam, salinan dokumen pengesahan jawatan dan salinan akaun bank atau penyata bank.
Jelasnya, program itu akan diadakan di Foyer B Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula jam 8 pagi hingga 5 petang pada 17 hingga 19 Februari ini.
"Program itu juga akan diadakan serentak pada masa sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terletak di bawah pentadbiran kontinjen Kuala Lumpur iaitu IPD Brickfields, IPD Cheras, IPD Dang Wangi, IPD Sentul, IPD Wangsa Maju dan IPD Putrajaya,” katanya
Katanya, semua yang hadir diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan oleh kerajaan.
"Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Cawangan Hal Ehwal Pesara Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 sambungan 409 atau 224,” katanya.