Pengarah mohon maaf, tukar tajuk teater

Iklan
Poster teater arahan Fa bertajuk 'Sex In Georgetown City' yang tular dan dikatakan menyinggung sensitiviti agama.

GEORGETOWN - Pengarah dan Penulis Big Nose Production, Fa Abdul memohon maaf kepada semua pihak selepas menyedari berlaku salah faham berhubung tajuk teater arahannya, 'Sex In Georgetown City'.

Menurutnya, dia tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti agama dan budaya namun menegaskan dalam industri kreatif, insiden seperti memilih tajuk berkenaan tidak dapat dielakkan.

Iklan
Iklan

Tambahnya, persembahan teater tersebut terdiri daripada 10 sketsa dengan setiap satunya berdurasi selama lapan minit.

"Seperti karya saya sebelum ini yang diadakan Penangpac sejak empat tahun lalu, niat saya adalah untuk mendidik orang ramai mengenai isu-isu sosial dengan cara yang menghiburkan dan memberi maklumat.

Iklan

"Saya faham dan bersetuju bahawa tajuk pilihan saya bagi persembahan kali ini mengelirukan dan sehubungan itu saya mengubahnya kepada '<3 in Georgetown City'," katanya menerusi satu kenyataan.

Fa berkata, persembahan teater tersebut membahaskan isu-isu sosial yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara termasuk hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia, kahwin bawah umur dan kecurangan.

Iklan

"Persembahan tersebut tidak menyimpang atau eksploitatif, sebaliknya ia mencerminkan cabaran dan kebiasaan budaya kita. Daripada pengalaman saya, kesemua karya saya menerima maklum balas yang sangat positif.

"Ia juga menghasilkan perbualan dan perbahasan yang sihat dalam kalangan ahli masyarakat. Dengan penerangan ini, saya amat berharap agar salah faham ini dapat diselesaikan," katanya.

Dia akan mendapatkan nasihat dan panduan dari Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman terlebih dahulu sebelum mengadakan persembahan di Pulau Pinang.

"Pada masa akan datang, saya akan berhubung dengan Ahmad Zakiyuddin untuk mendapat panduan sebelum mengadakan persembahan di sini.

"Sekali lagi saya mohon maaf kerana kesulitan yang timbul kerana tajuk teater saya yang mengelirukan banyak pihak," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial poster sebuah teater yang bertajuk 'Sex In Georgetown City' yang akan diadakan di Pentas 2 Penangpac, Straits Quay di Tanjung Tokong di sini.

Teater berkenaan akan ditayangkan selama tiga hari bermula 14 hingga 17 Februari ini.

Difahamkan, satu laporan akan dibuat berhubung teater tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut, malam ini.