SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO Tumpat, Rosdi Razali menzahirkan kebimbangan terhadap prestasi negara dalam memperoleh pelaburan dari luar negara.
Menurutnya, Indonesia dan Vietnam merupakan dua negara jiran yang berjaya menarik jumlah pelaburan yang besar dari luar dan menjadikan Malaysia ketinggalan sejak tahun 2018.
"Ini membimbangkan kerana tiada usaha untuk memulihkan kedudukan negara sebagai destinasi pelabur-pelabur luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn mengenai prestasi Malaysia dalam memperoleh pelaburan dari luar negara yang disiarkan dalam Astro Awani pada Ahad.
Sementara itu, Rosdi berpendapat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini banyak mengkritik pelaburan besar dari negara China.
"Sebaliknya tidak melakukan apa-apa untuk menggantikan nilai pelaburan besar mereka yang hilang dengan pelaburan dari negara lain.
"Ini kerana pelaburan dari luar negara membuka peluang pekerjaan dan kepelbagaian curahan ekonomi kepada negara. Ia merupakan indikator bahawa pelabur mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan negara,” ujarnya.
Rakyat secara keseluruhan masih belum dapat merasai peluang pelaburan yang dibawa kerajaan PH mahupun kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Kerajaan harus segera bertindak sebelum negara kita terus ketinggalan di belakang Indonesia, Vietnam dan Thailand.
"Kerajaan juga perlu menyediakan pelan untuk menarik pelabur dan dibentangkan segera sebelum rakyat Malaysia terpaksa merantau ke negara jiran untuk mencari kerja,” katanya.