YANGON - Pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi pada Selasa berdepan satu lagi pertuduhan selepas beliau didakwa melanggar undang-undang pengurusan bencana di Myanmar.
"Beliau didakwa di bawah Seksyen 8 Undang-undang Import dan Eksport serta Seksyen 25 Undang-undang Pengurusan Bencana," ujar peguamnya, Khin Maung Zaw.
Sebelum ini, penerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 itu dituduh melanggar undang-undang import dan eksport susulan penemuan walkie-talkie di kediamannya selepas beliau ditahan pada hari sama Angkatan Tentera Myanmar atau Tatmadaw melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.
Difahamkan, Presiden digulingkan, Win Myint turut berdepan dakwaan melanggar undang-undang pengurusan bencana yang berkaitan dengan kempen pilihan raya beliau yang didakwa pemerintah junta tentera sebagai melanggar sekatan Covid-19.
Menurut Maung Zaw, Suu Kyi dan Myint dijadualkan tampil menerusi sidang video pada perbicaraan yang ditetapkan pada 1 Mac depan.
Sementara itu, jurucakap junta tentera, Zaw Min Tun mengesahkan kedua-duanya berada dalam keadaan baik dan selamat.
"Mereka bukan seperti tahanan biasa sebaliknya mereka ditempatkan di rumah masing-masing," ujarnya yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Maklumat.
Data diperoleh kumpulan pemerhati, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik mendapati lebih 420 individu telah ditahan sejak kudeta itu dilancarkan. - AFP